Atlet Wilayah

Impi kedudukan kelompok 10 terbaik dunia

MUHAMMAD IKHMAL (tengah) ketika berjaya mendapat tempat kedua pada Kejohanan Cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada tahun 2018. MUHAMMAD IKHMAL (tengah) ketika berjaya mendapat tempat kedua pada
- Diterbit 26 September 2021 6:00 AM MYT

ATLET golf Wilayah Persekutuan, Muhammad Ikhmal Basry, 21, menyambut baik langkah proaktif Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menerusi pemberian insentif khas sebagai ganjaran atas usaha atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, insentif tersebut bukan sahaja sebagai galakan bahkan mampu menyemarakkan lagi semangat atlet untuk meneruskan perjuangan tidak kira dalam sukan apa sekalipun.

“Hari ini bidang sukan boleh diibaratkan seperti karier. Jadi secara tidak langsung ia menjadi ‘periuk nasi’ masing-masing. Disebabkan itu juga, setiap atlet berusaha keras bagi melayakkan diri ke peringkat tertinggi.

“Semakin tinggi pencapaian seseorang atlet itu, maka semakin cerah kehidupan mereka. Sebab itu, sejak mula aktif dalam bidang ini, saya letakkan penanda aras untuk bergelar yang terbaik demi kepentingan masa hadapan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, atlet yang hebat akan sentiasa mendapat perhatian daripada semua pihak. Mereka akan dihargai atas sumbangan yang diberi. Maka setiap insentif yang diterima juga merupakan salah satu sumber kewangan.

Beralih kepada perkembangan semasa, sepupu kepada pemain golf profesional, Airil Rizman Zahari ini berkata, dia menjadikan atlet golf berjaya tersebut sebagai idolanya untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Airil merupakan antara sebab kenapa saya berada dalam sukan ini. Saya sentiasa kagum dengan pencapaiannya sejak saya kecil lagi termasuklah kejayaannya menjuarai Terbuka Pakistan pada 2007.

“Semangat dan nasihat dia sentiasa saya pegang sehingga ke hari ini. Doakan saya berjaya dalam persiapan untuk melayakkan diri pada Kejohanan Universiti Asia yang akan berlangsung tahun depan di Thailand,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berbicara lanjut tentang masa hadapannya dalam golf, pelajar Ijazah Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, impiannya lima tahun akan datang adalah untuk menempatkan diri dalam kedudukan kelompok 10 terbaik dunia.

“Saya tidak mahu Malaysia jauh ketinggalan ke belakang dalam sukan golf. Kalau boleh biarlah kita pula yang mendominasi kedudukan ranking dunia pada masa hadapan,” ujar atlet bercita cita tinggi ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas