Utama

#ImpactTolongHantar, khidmat penghantaran bantuan diaktifkan semula

- Diterbit 21 Januari 2021 5:48 AM MYT

#IMPACTTolongHantar (ITH) 2.0, projek khidmat penghantaran bantuan dengan mudah dan percuma oleh Impact Malaysia, yang pernah dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, kini diaktifkan semula bagi membantu pelbagai pihak.

Pengurus Projek #ImpactTolongHantar, Impact Malaysia Mastura M. Rashid berkata, projek berkenaan  bagi membantu individu, syarikat swasta, organisasi amal, dan pertubuhan bukan kerajaan ​menghantar makanan dan bekalan penting kepada golongan yang terjejas, akibat PKP serta mangsa banjir.

“ITH 2.0 menghubungkan mana-mana individu atau organisasi dengan penerima manfaat melalui rakan penghantaran mikro dan sederhana, ke mana-mana lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Servis penghantaran melalui ITH adalah percuma, supaya individu dan organisasi boleh menggunakan wang yang dijimatkan, untuk menambah kapasiti bantuan yang akan diberikan kepada penerima,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya sekiranya terdapat individu atau organisasi ingin menggunakan khidmat #ImpactTolongHantar, mereka boleh melayari laman sesawang www.impact.my/tolong-hantar​ atau emel ke ​[email protected]​ dan menghubungi Impact Malaysia di talian +6011-5641 9519.

Dalam Siri 1 sebelum ini, ITH telah bekerjasama dengan lapan rakan penghantar dan 43 organisasi untuk menghantar bantuan makanan dan PPE kepada 50,016 individu atau 15,498 buah isi rumah, selain memberi manfaat kepada 9,990 pekerja barisan hadapan, 1,198 pelajar dan 77 buah rumah kebajikan di seluruh negara.

Impact Malaysia merupakan salah satu inisiatif daripada Impact Integrated, sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan, di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan untuk merancakkan impak sosial yang dipacu oleh golongan muda. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas