Berita

Imbas KLStep sebelum masuk pusat membeli-belah, restoran

NOR HISHAM mencuba menggunakan aplikasi KLStep ketika memasuki pusat membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 28 Mei 2020 6:59 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh tiga hari kepada pemilik perniagaan di ibu kota untuk menggunakan aplikasi KLStep bagi merekodkan kehadiran pelanggan di dalam premis mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata, aplikasi milik DBKL itu dibangunkan bagi memastikan penjarakan sosial dan kawalan pengunjung ke sesuatu premis sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita sudah maklumkan kepada semua pemilik premis perniagaan termasuk pasar raya dan kedai-kedai untuk menggunakan aplikasi ini. Sekarang kebanyakan pemilik premis membuat catatan kemasukan pengunjung secara sendiri, jadi kita hendak selaraskan kepada semua premis perniagaan dengan menggunakan aplikasi ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi KLStep di pusat membeli-belah Sogo di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustaffa Mohd Nor.

ORANG ramai menggunakan aplikasi KLStep sebelum memasuki pusat membeli-belah Sogo.

Melalui aplikasi KLStep, orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR  yang disediakan sebelum memasuki premi perniagaan terbabit dengan mereka dikehendaki memberi maklumat  peribadi bersifat ‘real time’.

Buat permulaan, aplikasi ini  digunakan di premis berbumbung seperti restoran, pusat membeli belah, butik dan ia bakal diperluaskan ke pasar-pasar awam di bawah kendalian DBKL.

Dalam pada itu, Nor Hisham memberitahu, pihaknya masih tidak berpuas hati dengan amalan penjarakan sosial dalam kalangan warga kota ketika membeli belah.

“Secara keseluruhan, pemilik premis telah mematuhi SOP seperti yang ditetapkan oleh KKM. Namun masih terdapat orang ramai yang berebut ketika membeli-belah dan seterusnya telah melanggar SOP yang ditetapkan.

“DBKL juga telah menampal notis di setiap premis untuk mengingatkan pemilik premis dan pelanggan agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan KKM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas