Berita

Ikan goreng menu harian Menteri Wilayah

DATIN Seri Shamsiah Md Yassin bersama suami tercinta.
- Diterbit 23 Oktober 2021 1:00 AM MYT

PASTI ramai yang ingin mengetahui apakah menu kegemaran dan jenis masakan yang sering dinikmati Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Adakah masakan Melayu lebih disukainya atau masakan barat yang menjadi pilihan?

Baru-baru ini, isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin berkongsi dengan Wilayahku bahawa suaminya merupakan peminat masakan Melayu iaitu gulai selain menu ringkas berasaskan ikan.

“Menu wajib yang perlu ada dan tidak pernah tertinggal walaupun sehari adalah ikan goreng, sayur atau ulam, sambal tumis dan kuah.

“Kalau ada gulai ikan lebih bagus kerana itu adalah makanan kegemarannya. Tidak kisah apa-apa jenis ikan sama ada ikan temenung, ikan selayang atau ikan kembung, kalau kuah itu bercampur ikan, beliau memang suka.

“Datuk Seri tidak makan sambal belacan. Kalau ada sambal, sama ada sambal tumis udang, telur atau apa-apa selain sambal belacan, beliau akan makan,” kongsinya kepada Wilayahku.

Menurut Shamsiah, oleh kerana seluruh keluarganya suka makan ikan, sumber protein laut itu perlu
dibeli dalam kuantiti yang banyak.

“Biasanya, kalau saya ke pasar raya, saya tidak akan membeli sekilo ikan tetapi empat kilo sekali gus kerana seluruh ahli keluarga saya memang peminat tegar ikan dan Datuk Seri Shahidan boleh habiskan seorang sahaja,” kongsinya lagi.

Datin Seri Shamsiah turut memberitahu suaminya juga seorang yang mahir memasak dan tidak cerewet dalam memilih makanan.

“Dahulu semasa saya masih bekerja, semua bahan-bahan masakan beliau yang sediakan.  Bila saya balik kerja, saya hanya tumiskan dan masak sahaja.

“Tapi Datuk Seri ini pantang dipuji. Saya pernah puji dia pandai masak sampai bawang tu dia potong sebiji-sebiji.

“Saya tanya dia ‘kenapa awak potong sebiji-sebiji?’ dia menjawab ‘Allah lupa, puji terus lupa’,” katanya sambil ketawa.

Mengulas mengenai isu protokol dan keperibadian beliau berdua, Datin Seri Shamsiah berkata, keluarganya juga manusia biasa dan membezakan dirinya dengan rakyat hanyalah pangkat mahupun kedudukan.

“Bagi saya, ya, protokol itu perlu ada tetapi usahlah berlebihan. Kami juga manusia biasa.

“Kami juga makan bersila di tepi jalan, berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bentang tikar
untuk makan,” jelasnya dengan rendah hati. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas