Atlet Wilayah

Idam beraksi di siri Jelajah Eropah

AZREN mahu meletakkan diri sebaris atlet profesional golf di dalam negara. AZREN mahu
- Diterbit 2 Januari 2022 7:00 AM MYT

SETELAH lebih satu tahun tidak berpeluang menyertai sebarang kejohanan ekoran pandemik COVID-19, atlet golf Wilayah Persekutuan, Muhammad Azren Noor Azam bersyukur kerana berpeluang menyertai Kejohanan Golf Matchplay IPT 2020, minggu lalu.

Biarpun sekadar berada di tempat keempat, namun dia bersyukur kerana dapat beraksi kembali dan mengukur tahap kemampuannya dalam sukan golf yang merupakan keutamaannya saat ini.

“Bayangkan selama ini saya hanya berlatih secara dalam talian jadi banyak kemahiran yang perlu saya perbetulkan untuk mendapatkan tempat yang terbaik dalam sebarang kejohanan,” ujarnya.

Bercita-cita untuk bermain di peringkat siri Jelajah Eropah, atlet muda ini giat menjalani latihan sepanjang minggu untuk menempatkan dirinya sebaris pemain profesional yang ada di Malaysia.

“SUKMA adalah antara medan terbaik untuk pelapis muda bergerak jauh ke hadapan. Diharapkan ia kembali rancak melahirkan atlet berjaya seperti sebelum negara dilanda wabak COVID-19.

“Bagi saya, dalam usaha untuk menyemarakkan lagi dunia golf di Malaysia, kita perlu menganjurkan lebih banyak kejohanan golf di sini supaya sukan ini setara dengan sukan popular yang lain.

“Selain itu juga, dengan adanya kejohanan berprestij, maka pemain-pemain luar juga akan turut serta sekali gus membantu dalam menjayakan hasrat untuk melahirkan ramai lagi pemain yang cemerlang,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menjadikan pemain golf dunia, Ian Poulter sebagai idola dalam sukan ini, dia turut memasang impian untuk berjaya seperti idolanya itu.

“Dia tidak pernah kalah dalam format Match Play dan turut digelar King of Match Play. Kejayaan dia bukan sahaja menjadi pendorong kepada saya bahkan saya yakin kepada semua yang berminat dengan sukan ini.

“Kalau boleh saya juga ingin menjadi jurulatih suatu hari nanti untuk terus berbakti kepada sukan ini. Golf bukan sahaja sekadar minat saya tetapi akan menjadi karier tetap saya pada masa hadapan,” ujarnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas