Selebriti

Ibu Betty Benafe meninggal dunia akibat jangkitan kuman

- Diterbit 3 November 2021 3:50 AM MYT

IBU kepada selebriti Betty Benafe iaitu Fauziyah Gholib Nagib, 82, meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru akibat jangkitan kuman dalam darah.

Menurut Betty, ibunya juga sejak tahun 2010 mempunyai pelbagai komplikasi penyakit lain termasuk tumor otak.

Kata Betty lagi, ibunya dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu.

“Ibu meninggal dunia dalam keadaan tenang ketika tidur. Dia pergi tanpa disedari kerana tiada bunyi seperti orang nazak.

“Nafasnya terhenti dengan baik dan mudah. Kerana tumor otak juga, dia tidak merasai kesakitan dialami. Ibarat dia tahu dirinya sakit, tapi seperti tak diendahkan.

” Di hujung usianya daya ingatan ibu saya memang tidak bagus. Dia seperti ingat ingat lupa. Malah mukanya juga mula membengkak kerana jangkitan kuman dan kegagalan buah pinggang,” kata Betty.

Menurut Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe, ketika mula ibunya disahkan mempunyai masalah tumor otak, doktor pernah meramalkan hayatnya hanya mampu bertahan dalam tempoh dua tahun.

Namun, hayatnya masih panjang sehingga ke hari ini.

Jenazah ibunya akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Bukit Aliff di Johor Bahru.

Arwah ibunya meninggalkan lima anak dan 18 cucu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas