Berita

Ibu bapa, PIBG, kaunselor bantu pulihkan semangat calon SPM – Exco Pendidikan

- Diterbit 18 Januari 2021 9:14 AM MYT

IBU bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kauselor sekolah diminta bersama-sama membantu memulihkan semangat pelajar yang juga calon peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali ke sekolah pada Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Rozieana Ahmad berkata sokongan itu perlu kerana pelajar sudah lama tidak ke sekolah berikutan penularan COVID-19 dan sebahagian daripada mereka telah bekerja secara sambilan bagi membantu keluarga ketika sekolah ditutup.

“Kami akan bantu pelajar ini agar mereka kembali bersemangat untuk meneruskan persekolahan kerana SPM adalah peperiksaan yang  penting bagi menentukan masa depan anak muda,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar akan diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian lengkap seragam sekolah pada hari pertama namun masih terikat kepada peraturan berpakaian ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Mungkin ada pelajar yang bajunya tidak muat, jadi ketika ini diberi kelonggaran untuk hari pertama atau kedua persekolahan sahaja.

“Kami akan lakukan perbincangan dengan pihak sekolah dan PIBG untuk mungkin meminjamkan pakaian sekolah kepada pelajar. Yang penting adalah pelajar calon SPM datang ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua 30 sekolah menengah di Perlis diminta memantau kehadiran pelajar calon SPM dan melakukan tindakan susulan jika terdapat mereka yang tidak hadir ke sekolah.

KPM  sebelum ini memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini membabitkan murid yang akan menduduki peperiksaan utama seperti SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas