Berita

IBRC perkasakan kepakaran dan teknologi makmal beri manfaat pelbagai produk negara

- Diterbit 25 November 2020 3:53 AM MYT

SIRIM Berhad melalui Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustriannya (IBRC), akan memperkasakan kepakaran dan teknologi makmal agensi itu yang bertujuan untuk memberi manfaat terutamanya kepada produk makanan, peranti perubatan dan farmaseutikal di negara ini.

Pengurus Besar IBRC Dr Ahmad Hazri Ab. Rashid berkata ini kerana menerusi kepakaran dan teknologi yang dimiliki IBRC, ia bukan sahaja dapat mengesahkan produk itu selamat tetapi turut meningkatkan kualiti produk berkenaan.

Beliau berkata antara produk tersebut ialah suplemen kesihatan, peranti perubatan seperti sarung tangan dan picagari serta ubat-ubatan.

‘’Makmal SIRIM IBRC merupakan salah sebuah makmal yang menjalankan pegujian toksikologi terutama bagi produk farmaseutikal, peranti perubatan, makanan serta beberapa produk lain seperti kosmetik, racun perosak dan bahan kimia.

“Makmal kami bertauliah di bawah Good Lab Practice (GLP) dan ISO IEC 17025 yang setiap ujian dilakukan ke atas setiap produk adalah mengikut piawai tinggi dan standard antarabangsa dan produk tersebut selamat untuk digunakan dan juga diluluskan untuk penjualan,’’ katanya kepada Bernama ketika sesi wawancara secara maya di sini.

Katanya, atas faktor itu, SIRIM telah berupaya memupuk keyakinan orang ramai termasuk pengeluar dan pengilang produk melalui perkhidmatan yang ditawarkannya.

Ahmad Hazri berkata sebelum ini, kebanyakan pengeluar dan pengilang produk makanan, peranti perubatan dan farmaseutikal melakukan ujian makmal di luar negara bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan produk mereka.

‘’Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat-syarikat tempatan termasuk syarikat yang menghasilkan produk berpasaran tinggi seperti sarung tangan telah mula meletakkan keyakinan terhadap makmal kami.

‘’…dan keberkesanan ujian makmal kami terbukti apabila kami membuat ujian ke atas produk sarung tangan getah dan berjaya mendapat pengiktirafan badan pengawalseliaan antarabangsa untuk produk itu yang turut dipasarkan di negara luar,” katanya.

Beliau berkata antara ujian ke atas sarung tangan yang dilakukan makmal itu ialah Ujian Resapan (Permeation Testing) dan Ujian Kemerosotan (Degradation Testing).

‘’Ujian Resapan adalah kaedah untuk menentukan ketahanan sama ada sarung tangan yang dihasilkan itu akan menyerap larutan kimia yang berbahaya atau tidak, dengan melakukan pengujian ini, syarikat pengeluar sarung tangan akan dapat mengklasifikasikan tahap prestasi sarung tangan mereka.

“Ujian Kemerosotan pula adalah untuk menentukan ketahanan bahan sarung tangan iaitu adakah ia melindungi pengguna daripada bahan kimia berbahaya dengan sentuhan berterusan. Ujian ini adalah ujian wajib untuk semua sarung tangan yang menawarkan perlindungan terhadap bahan kimia,’’ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata produk kosmetik yang dikeluarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut menggunakan teknologi pusat penyelidikan itu bagi memastikan produk yang dihasilkan tidak memudaratkan pengguna.

Ahmad Hazri berkata selain mendapat kelulusan pendaftaran yang wajib daripada Kementerian Kesihatan (KKM), pengeluar produk kosmetik juga disarankan untuk menjalankan ujian keselamatan tambahan di makmal SIRIM untuk meyakinkan pengguna bahawa produk mereka adalah selamat dan berkualiti.

Antara ujian tambahan yang boleh dijalankan adalah ujian kandungan bahan terlarang seperti merkuri serta ujian keradangan kulit dan mata.

‘’Terlalu banyak lambakan produk berbahaya di pasaran dan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembeli…sebab itu kita turut galakkan mana-mana pemilik produk (kosmetik) untuk buat ujian dengan kami supaya produk mereka disahkan selamat daripada bahan kimia berbahaya yang boleh menimbulkan keradangan serta memudaratkan kulit pengguna.

‘’Kami juga aktif dalam menjalankan projek bioteknologi komersial dengan kerjasama PKS dan organisasi tempatan untuk menghasilkan produk berasaskan bio daripada sumber yang boleh diperbaharui yang memegang nilai berpotensi besar termasuklah dalam penghasilan produk penjagaan kesihatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut bersedia memikul tanggungjawab untuk menjalankan kajian ke atas vaksin COVID-19.

Ahmad Hazri berkata ini kerana pihaknya yakin dengan kepakaran penyelidik dan teknologi yang digunakan tersebut mampu untuk melakukan kajian dan analisis ke atas vaksin berkenaan.

‘’Pada saat pandemik COVID-19 melanda seluruh negara, kita juga yakin dapat membantu melakukan kajian dan ujian makmal ke atas vaksin COVID-19 sekiranya diperlukan,’’ katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas