Agama

Ibrah pensijilan halal di negara Kiwi

INDUSTRI daging kambing merupakan hasil komoditi utama New Zealand. -Gambar hiasan.
- Diterbit 7 Mac 2020 9:41 AM MYT

NEW ZEALAND, selain dikenali di pelosok dunia memiliki pemandangan semula jadi yang sangat cantik, ia juga merupakan negara pengeksport daging kambing terbesar di dunia.

Dianggarkan sekitar 47 peratus dari jumlah keseluruhan nilai eksport dunia bagi daging kambing adalah dari negara Kiwi ini.

Pengeluaran daging kambing merupakan hasil komoditi utama bagi negara ini dalam menjana pendapatannya yang dianggarkan bernilai USD7.5 bilion setahun.

Daging keluaran New Zealand diakui memiliki kualiti yang sangat baik dan sentiasa menerima permintaan yang tinggi dari seluruh dunia.

Apa yang sangat menarik mengenai industri daging kambing New Zealand ini adalah hampir keseluruhan pusat penyembelihan di negara tersebut berusaha untuk memastikan pusat penyembelihan mereka diiktiraf halal. Kajian yang dijalankan penulis bersama rakan-rakan penyelidik mendapati pemain industri daging kambing New Zealand menyanjung tinggi Malaysia sebagai pensijil halal terbaik dunia.

Kerangka polisi industri halal yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijadikan rujukan agensi dan pemain industri di sana.

Untuk mengimport daging atau apa juga produk berasaskan daging ke Malaysia, pemain industri terlibat perlu antaranya mematuhi ‘The Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions’ yang dikuatkuasakan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perindustrian Utama.

Protokol yang telah berkuat kuasa sejak 2011 ini telah dibangunkan secara bersama oleh Jakim, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Standards Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan SIRIM Berhad.

Selain penguatkuasaan protokol ini, Kementerian Perindustrian Utama turut diberi mandat mengeluarkan ‘Animal Product Notice’, yang dahulunya dikenali sebagai ‘Halal Notice’, antara instrumen kawalan yang digunakan bagi aktiviti-aktiviti pihak industri terlibat dalam proses pengeluaran daging dan produk berasaskan daging.

PENULIS (kiri) bersama kakitangan di salah sebuah pusat penyembelihan di New Zealand.

Aktiviti-aktiviti yang dikawal meliputi proses-proses seperti ‘stunning’, penyembelihan, melapah daging, penggunaan kaedah ‘thoracic sticking’, pemotongan daging kepada bahagian-bahagian, penyimpanan, dan pengangkutan dan penghantaran.

Audit

Audit pemantauan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Proses audit yang dilaksanakan Jakim pada tahun 2007 mendapati lebih separuh daripada rumah sembelihan di New Zealand tidak menepati beberapa aspek yang digariskan, menyebabkan pengiktirafan halal mereka ditarik balik.

Antara isu utama yang telah dikenal pasti menjadi punca penarikan balik pengiktirafan tersebut adalah berkaitan kaedah yang digunakan semasa pelaksanaan proses penyembelihan, iaitu ‘stunning’ dan ‘thoracic sticking’.

Kaedah ‘stunning’ merujuk kepada teknik memengsankan haiwan yang ingin disembelih supaya memudahkan proses sembelihan dijalankan, manakala ‘thoracic sticking’ pula merujuk kepada tusukan pantas menggunakan objek tajam melalui belahan sembelihan ke salur darah tengkuk dan karotid di jantung, bagi mempercepatkan proses pendarahan.

Kedua-dua teknik ini dibenarkan oleh fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-70 pada 29 September 2005, dengan syarat dilakukan mengikut kaedah khusus yang ditetapkan.

Penarikan semula pengiktirafan halal sejumlah besar rumah sembelihan New Zealand yang disebutkan antara lainnya adalah disebabkan ketidakpatuhan terhadap beberapa langkah yang telah
tergaris berkaitan dua kaedah pemprosesan daging ini.

Untuk kaedah ‘stunning’ contohnya, ada pusat sembelihan yang tidak mampu menyediakan rekod bagi memastikan haiwan yang disembelih adalah masih hidup setelah melalui proses ‘stunning’ sebelum disembelih. Beberapa pusat sembelihan juga didapati melakukan ‘thoracic sticking’ dalam masa yang singkat setelah sembelihan dilaksanakan, dan tidak mematuhi garis panduan 30 saat yang ditetapkan oleh protokol.

Selain dua isu ini, ada juga antara rumah sembelihan yang turut mempunyai masalah berkaitan sumber manusia, di mana mereka sepatutnya mempunyai tukang sembelih, halal ‘head checker’, dan penyelia halal.

Masalah berkaitan dokumentasi turut dikaitkan dengan beberapa rumah sembelihan, kerana mampu menimbulkan implikasi kebolehkesanan rekod dan dokumentasi berkaitan proses penyembelihan yang diperlukan oleh agensi halal yang ditauliahkan.

Iktiraf

Permasalahan ini bagaimanapun telah ditangani secara menyeluruh oleh Kerajaan New Zealand dengan pelaksanaan beberapa inisiatif khusus dan pengiktirafan halal untuk kesemua rumah sembelihan yang terlibat telah diberikan semula.

Usaha ini antara lainnya dilihat sebagai bukti penerimaan kerangka industri halal Malaysia sebagai penanda aras global bagi pembinaan hubungan komersial jangka panjang dengan negara-negara Islam yang lain.

Proses pengiktirafan halal bukan sahaja terhad kepada usaha yang dilakukan oleh rumah dan pusat sembelihan, malah turut bergantung secara langsung dengan peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi persijilan halal tempatan.

Selain pengeluaran sijil, badanbadan ini juga bertanggungjawab melaksanakan aktiviti-aktiviti pemantauan bagi memastikan rumah penyembelihan di bawah naungan mereka benar-benar mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Antara agensi yang dimaksudkan adalah ‘Federation of Islamic Association of New Zealand’ (FIANZ) yang beribu pejabat di Wellington.

Kesimpulannya, pemilikan sijil halal dari Malaysia, atau dari badan persijilan halal tempatan yang diiktiraf oleh Jakim, merupakan matlamat tertinggi mana-mana syarikat dan rumah penyembelihan di New Zealand.

Kerangka kepatuhan syariah yang dibina oleh proses persijilan oleh Jakim sememangnya diterima oleh kesemua pemain industri sebagai terkehadapan dan dinamik.

Hanya dengan adanya sijil ini, membenarkan mereka untuk membina peluang perniagaan dengan lebih 1 billion umat Islam di seluruh dunia.

Penulis merupakan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) dan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas