Berita

“I am Nicol David” biopik ceritakan kejayaan ratu skuasy

DATUK Nicol David menceritakan kisah perjalanannya sehingga bergelar 'Ratu Skuasy Negara' menerusi satu filem biopik berjudul 'I am Nicol David'.
- Diterbit 7 Jun 2021 4:02 PM MYT

SELAKU bintang sukan tersohor negara, kisah Datuk Nicol David akan difilemkan dalam satu biopik berjudul “I am Nicol David.”

Juara dunia lapan kali itu membuat pengumuman itu di laman media sosialnya malam ini, yang menjadikan pengikutnya teruja.

“Saya selalu mengimpikan satu hari nanti untuk menceritakan kisah saya dan mampu memberi inspirasi kepada setiap orang untuk bekerja keras mencapai apa yang mereka mahukan dan sentiasa mencabar diri sendiri untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Saya sungguh bertuah saya berpeluang bekerjasama dengan ACE Pictures yang berkongsi perasaan ini dan saya tidak sabar-sabar untuk memulakannya! Ia satu perjalanan yang panjang dan saya teruja untuk mengharapkan sokongan anda dalam melaluinya,” katanya yang kini berusia 37 tahun dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Memegang rekod nombor satu selama 108 bulan berturut-turut dan kedudukan 10 teratas selama 151 bulan, Nicol memenangi  81 gelaran Juara Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam kerjaya profesionalnya selama hampir 20 tahun.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah atlet Sukan Asia paling berjaya dengan meraih tujuh pingat emas secara keseluruhan.

Beliau juga dimahkotakan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, Februari tahun ini.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas