Agama

Hukum terlibat dalam mereka bentuk tempat maksiat

||Gambar hiasan
- Diterbit 22 November 2019 9:27 AM MYT

Soalan: Assalamualaikum Ustaz, saya berkerja sebagai seorang arkitek reka bentuk di sebuah firma milik bukan Islam. Saya pernah diberikan tugasan oleh ketua saya (bukan Islam) untuk mereka bentuk ruang bagi meletakkan patung Buddha dan mereka cipta sebuah pusat karaoke yang ada menyediakan hidangan seperti arak di dalam premis tersebut. Apakah hukum jika saya terlibat sebagai pereka bentuk kepada tempat-tempat seperti ini ?

DALAM menjawab isu ini, kami perincikan persoalan di atas dengan beberapa perkara yang berikut:

Pertama: Hukum berkerja dengan orang bukan Islam

Kami maksudkan dengan tajuk di atas ini adalah berkenaan hukum seorang Islam berkerja dengan syarikat atau organisasi yang dimiliki atau diketuai oleh orang bukan Islam.

Dalam membahaskan isu ini, para fuqaha secara majoriti mengatakan hukumnya adalah dibolehkan. Kebanyakan mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ali Abi Thalib R.A beliau berkata:

Maksudnya: “Kemudian aku pun melepasi seorang Yahudi pada harta miliknya dalam keadaan dia sedang mengambil air dengan penarik air miliknya. Maka aku pun melihat ke arahnya di sebalik pagar. Lalu dia berkata: “Apa kena dengan kamu wahai orang Arab? Hendakkah kamu untuk mendapat satu biji tamar bagi setiap bekas (untuk menimba air)”.

Maka akupun berkata: “Ya, bukakanlah pintu supaya aku dapat masuk’’. Beliau pun membuka pintu dan aku memasukinya, lalu beliau memberikan kepadaku timba tersebut. Setiap kali aku lepaskan timba itu (keluarkan air) beliaupun memberikan kepadaku sebiji tamar. Sehinggalah telah penuh kantungku aku pun melepaskan timbanya dan aku mengatakan: Memadailah buatku, maka aku pun memakannya. Kemudian akupun mengeluarkan air itu dan meminumnya, dan aku pergi ke masjid lalu mendapati Rasulullah S.A.W berada di dalamnya.” Riwayat al-Tirmizi (2473)

Berdasarkan riwayat di atas, adalah dibolehkan untuk seorang Muslim itu berkerja dengan orang bukan Islam dan mendapat upah hasil perkhidmatan yang dia berikan.

Kedua: Hukum membantu orang bukan Islam

Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan muslim, bantuan tersebut terbahagi kepada dua iaitu:

Pengibadatan agama lain dan maksiat

Dalam isu melibatkan amalan keagamaan agama lain, adalah tidak boleh untuk seorang yang beragama Islam membantunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T: Maksudnya: Janganlah kamu saling membantu di atas perkara dosa dan permusuhan. Surah Al-Ma’idah (2)

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T mengharamkan bantuan dalam perkara-perkara dosa dan juga perkara yang melampaui batas yang telah Allah tetapkan.

Kebajikan sosial

Dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat Islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Maksudnya: “Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” Riwayat al-Tirmizi (1987)

Kalimah manusia di dalam hadis dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.

Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyebut: Maksudnya: “Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Surah Al-Mumtahanah (8)

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam adalah dibenarkan di sisi syarak.

Sebagai contoh, seorang Muslim yang melihat orang bukan Islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan Islam tersebut.

Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan Islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami mengatakan bahawa hukum berkerja dengan syarikat yang diketuai oleh bukan Islam adalah harus secara umumnya. Namun, jika pekerjaan tersebut bercampur dengan perbuatan yang haram seperti membantu mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam, memerah arak, membantu ke arah kesyirikan dan kemaksiatan, maka ia adalah dilarang dan ditegah.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami mengatakan bahawa perbuatan tersebut hendaklah dielakkan. Ini kerana setiap wasilah untuk mencapai ke arah tujuan yang tidak baik adalah dianggap sebagai tidak baik juga. Ini seperti yang disebutkan dalam kaedah: Maksudnya: Wasilah-wasilah mempunyai hukum yang sama dengan tujuan.

Justeru melakukan reka bentuk bagi tempat-tempat yang bertujuan untuk diadakan maksiat kepada Allah di dalamnya adalah suatu wasilah yang dilarang.

Kami mencadangkan agar saudara dapat berbincang dengan majikan secara berhikmah dan menjelaskan keadaan ini dengan sebaiknya agar mendapat keputusan yang terbaik di antara kedua belah pihak. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas