Berita

Honda Jazz, Navara terbakar selepas kemalangan

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kenderaan yang terjadi selepas kemalangan berlaku.
- Diterbit 24 November 2020 3:37 AM MYT

DUA kenderaan terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi, kereta jenis Honda Jazz musnah 100 peratus manakala Nissan Navara terbakar 80 peratus.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Bahrom Hamzah, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 9.06 pagi.

Ujarnya, susulan itu, jentera dari Balai Bomba Penyelamat Sri Hartamas bersama satu Jentera FRT-1 dengan kekuatan enam anggota dihantar ke lokasi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian terdapat kebakaran melibatkan dua kenderaan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan dan tiada mangsa yang terlibat. Difahamkan ia berpunca daripada kemalangan yang berlaku antara kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas