Berita

Hoe Yan lubuk emas sukan renang

KEHEBATANNYA beraksi di kolam renang mencuri perhatian ramai.
- Diterbit 1 September 2020 9:10 AM MYT

PERENANG muda negara, Khiew Hoe Yan, 18 merupakan atlet pelapis yang menyinar dalam sukan renang negara. Tidak keterlaluan jika dia juga dikatakan antara ‘lubuk emas’ yang mampu menghasilkan emas buat negara.

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh antaranya menyumbangkan sembilan pingat emas pada Kejohanan Renang Kumpulan Jemputan Malaysia (MIAG) ke-56 2020 awal tahun ini jelas membuktikan kehebatannya dalam acara tersebut.

Tidak menjadikan dunia renang sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang pelajaran, pelajar Kolej Taylor, Petaling Jaya dalam jurusan pengajian asas komputer ini bijak membahagikan tugas antara kedua-duanya demi masa hadapan yang lebih cerah.

“Biarpun menyerlah dalam sukan tetapi pelajaran tetap menjadi keutamaan saya saat ini agar suatu hari nanti saya berjaya dalam kedua-duanya,” ujarnya.

Malah dia tidak pernah menyerah kalah demi mengejar cita-citanya untuk bergelar seorang jurutera suatu hari nanti.

“Bukan mudah berdepan dengan jadual yang padat. Ia adalah sesuatu yang amat mencabar namun setiap kali habis berlatih renang, saya akan meluangkan masa melakukan tugasan kuliah dan menelaah pelajaran.

“Tidak dinafikan ada ketikanya saya berasa tertekan namun kekuatan disiplin dapat mengatasi segala-galanya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam sukan renang, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini berkata, dia bakal mengambil cuti panjang selama tiga bulan sejurus selesai pengajian pada tahun hadapan.

“Ia sebagai persediaan untuk saya berlatih dan menyertai kejohanan lebih besar pada tahun hadapan. Mujurlah pada tahun ini banyak acara yang dibatalkan ekoran wabak COVID-19, jadi saya
dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Ujarnya yang bakal terlibat dalam Hari Sukan Negara pada Oktober akan datang, dia bersyukur biarpun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun latihan renang tetap boleh dijalankan seperti biasa.

“Sekurang-kurangnya ia tidak terhenti begitu lama kerana aksi yang terbaik memerlukan latihan yang konsisten,” ujarnya yang meraih tujuh emas dan satu perak pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Indonesia tahun lalu.

Pencapaian Khiew Hoe Yan

Kejohanan Renang Kumpulan Jemputan Malaysia (MIAG) ke-56 2020
– 9 Emas

Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG), Semarang, Indonesia, Julai 2019
– 7 Emas, 1 Perak

Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019
– Gangsa

SUKMA Perak 2018
– 4 Emas, 2 Perak

Instagram: stevekhiew

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas