Berita

Hikmah PKP, waris jemput gelandangan pulang

SALAH seorang gelandangan di pusat penempatan sementara di Dewan Komuniti Sentul Perdana dijemput warisnya untuk dibawa pulang.
- Diterbit 7 Mei 2020 2:51 AM MYT

KUALA LUMPUR – Di sebalik kesukaran menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rupa-rupanya memiliki seribu satu hikmah yang sukar dijangka.

Ekoran PKP yang dikuatkuasakan di seluruh negara, Dewan Bandaraya (DBKL) telah menyediakan Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 membabitkan golongan tersebut.

Daripada hidup merayau-rayau dan bermalam di tepi-tepi kaki lima bangunan, golongan tersebut diberi tempat perlindungan sementara yang lengkap dengan kemudahan termasuk makan dan minum.

Malah lebih mengharukan, pengumpulan mereka di satu tempat yang lebih selamat dan teratur tanpa disedari telah memudahkan waris atau majikan untuk mengesan semula ahli keluarga yang terpisah sejak sekian lama.

“Hasilnya terdapat permintaan daripada beberapa waris/majikan penghuni PSG yang ingin membawa mereka pulang ke rumah memandangkan hari perayaan bakal menjelang tiba.

“DBKL telah membenarkan waris/wakil majikan untuk mengambil penghuni PSG ini pulang dengan syarat perlu mematuhi beberapa prosedur pelepasan termasuk Surat Aku Janji untuk menjaga mereka supaya tidak berkeliaran lagi di bandar raya,” kata DBKL dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Kesemua penghuni PSG ini telah menjalani saringan Covid-19 dan hasil ujian terhadap mereka adalah negatif.

Seramai 125 orang telah keluar dari PSG bermula 28 April 2020 sehingga kini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas