Selera

Hidangan laut segar di Putrajaya Seafood Restaurant

PELANGGAN berpeluang menikmati makanan laut sambil menghadap panorama di tepi tasik Taman Botani.
- Diterbit 9 Julai 2022 8:00 AM MYT

MENIKMATI juadah sambil berlatarbelakangkan pemandangan indah tasik dan Jambatan Seri Perdana pastinya menjanjikan pengalaman romantik bagi pengunjung Putrajaya Seafood Restaurant (PSR).

Menariknya, PSR merupakan ‘syurga’ bagi penggemar makanan laut segar yang menawarkan pelbagai pakej menu berkonsepkan masakan cina moden di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini.

Terletak di Taman Botani, PSR menghimpunkan pelbagai hidangan lazat selain turut menawarkan pakej menu yang boleh disesuaikan mengikut bajet individu atau kumpulan yang datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Convention & Exhibition Putrajaya Sdn Bhd, Mahmad Anuar Othman, pihak PSR kebiasaannya akan bertanya terlebih dahulu berkenaan bajet pelanggan untuk menentukan pakej menu yang akan ditawarkan.

“Kita akan tawar mengikut keselesaan pelanggan dan berusaha untuk tidak mengecewakan mereka yang ingin menikmati makanan laut segar,” ujar beliau yang mana pelanggan sanggup membayar harga premium untuk makanan laut yang dihidangkan.

Antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan di restoran yang memiliki pemandangan menakjubkan pada waktu malam ini adalah tiger grouper spicy lime sauce, prawn with oats dan mud crab with salted egg yolk, stir fried beef with black pepper.

PRAWN with Oats.
MUD Crab with Salted Egg Yolk.
STIR Fried Beef with Black Pepper.
TIGER Grouper Spicy Lime Sauce.

“Kita ada tiga pakej utama iaitu Set A, Set B dan Set C yang terdiri daripada sembilan jenis hidangan makanan bermula harga RM988 untuk minimum 10 orang,” ujar beliau menjelaskan harga masih sama meskipun terdapat kenaikan harga barang mulai 1 Julai lalu.

Kongsinya kepada Wilayahku, tarikan yang terdapat di PSR adalah ketika waktu malam apabila pelanggan berpeluang menikmati panorama indah Kompleks Seri Perdana yang dihiasi lampu.

Sama seperti restoran yang terdapat di luar sana, PSR turut menawarkan pakej bagi mereka yang ingin meraikan hari jadi, mesyuarat, minum petang atau sebarang majlis keraian yang lain.

“Terbaharu kita ada buat majlis aspresiasi sekolah, kementerian, pertunangan dan juga minum petang. Bagi setiap majlis, anggaran yang akan dikenakan adalah RM45 seorang dan minimum 20 hingga ke 30 orang,” ujar beliau.

Turut berkongsi perancangan PSR pada masa akan datang, Mahmad Anuar berkata PSR akan mengadakan kolaborasi dengan pihak hotel dalam mempromosikan restoran tersebut kepada pelancong luar.

“Kita ada kolaborasi dengan pihak Hotel Pulse Grande di mana flyers, bunting telah diletakkan bagi pembacaan mereka yang menginap di sana. Bagi tetamu Hotel Pulse Grande juga kita menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus sekiranya mereka datang makan di PSR ini yang mana tawaran ini sudah bermula sejak bulan Jun yang lalu.

“Selain itu, kita juga akan menambah lebih banyak papan tanda PSR di hadapan pintu Taman Botani sehingga ke hadapan kedai ini bermula bulan hadapan. Sementara itu, tahun hadapan pula, kita akan menerima kembali ejen pelancongan yang membawa rombongan dari Korea, Jepun, Taiwan dan China menikmati makanan laut segar di sini,” kata beliau.

Tambah baik fasiliti

BARU sahaja beroperasi semula, premis ini pernah ditutup selama lebih satu tahun untuk kerja penambahbaikan dari segi fasiliti dan kualiti makanan khas buat kepuasan pelanggan.

“Pada tahun 2021 telah berlaku kebocoran dan disebabkan itu kita tutup untuk lakukan pengubahsuaian bumbung, penggantian lantai konkrit kerana sebelum ini banyak aduan berkaitan haiwan perosak memandangkan lokasi kita di tepi tasik.

“Selain itu, kita juga melakukan pertukaran peralatan dapur. Dari segi menu pula, kita masih kekalkan konsep yang sama namun fokus akan diberikan terhadap kualiti serta kebersihan,” kongsinya. -WILAYAHKU 

 

Info PSR

Waktu operasi: 11pm- 2.30pm dan 6pm-10pm

Lokasi: Taman Botani Putrajaya, Presint 1, 62000 Putrajaya

No telefon: 03-8889 1188 atau 016-609 9650 (untuk tempahan)

Kemudahan: Tandas dan mini surau

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas