Berita

Henti persepsi pembangunan Kampung Baru merugikan orang Melayu – Khalid

PRA-PELANCARAN FLORIA
KHALID berucap semasa TownHall Pembangunan Kampung Baru. - Gambar hiasan
- Diterbit 3 Februari 2020 1:13 AM MYT

KUALA LUMPUR – Golongan yang sering mengapi-apikan semangat Melayu dengan menganggap pembangunan Kampung Baru akan menindas dan menipu orang Melayu, digesa berhenti menyebarkan sentimen serta dakyah tidak bertanggungjawab itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menyokong hasrat kerajaan membangunkan Kampung Baru dan itu merupakan mesej jelas bahawa rancangan itu adalah usaha mensejahterakan masyarakat khusunya orang Melayu.

“Mana-mana pihak yang masih menganggap pembangunan Kampung Baru itu merugikan Melayu, itu tidak benar dan harap menghentikan perbuatan tidak menguntungkan itu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada baginda yang menyatakan sokongan penuh kepada usaha kerajan Pusat untuk membangunkan Kampung Baru.

“Sekarang ini, Agong pun dah sokong, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pun nyatakan sokongan, lalu yang mana nak gunakan semangat Melayu ini saya harap tuan-tuan semua semak fakta yang ia bukan merugikan Melayu tetapi  menguntungkan masyarakat Kampung Baru,” katanya selepas melepaskan konvoi 1,500 belia bermotosikal sempena Sambutan Hari Wilayah Perkutuan 2020 (SHWP 2020) di Dataran Merdeka semalam.

Melalui tempoh enam bulan yang ditetapkan kerajaan untuk berbincang dengan penduduk kampung berkenaan, Khalid mengakui, pihaknya menerima sambutan positif.

Ujar beliau,  sehingga kini, tiga atau empat program diadakan yang mana pemilik bertemu pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dalam kumpulan kecil iaitu enam atau tujuh lot yang terdiri daripada 50 hingga 100 orang.

Jelasnya, selepas pertemuan itu, mereka didapati memahami perancangan kerajaan yang sebenarnya dan susulan itu persetujuan diperoleh.

Dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan, Parti Amanah Negara (Amanah) menolak cadangan pengenalan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, pihaknya tidak bersetuju cadangan yang dikemukakan Pemangku Menteri Pendidikan itu kecuali terdapat hujah-hujah yang kukuh untuk melaksanakannya.

“Apabila isu PPSMI dibawa semasa zaman Barisan Nasional, pendirian kami jelas iaitu kami percaya bahawa kalau kamu hendak menambah baik Bahasa Inggeris, maka kamu mengajar Bahasa Inggeris dengan menambah waktu pengajarannya, mengajar kesusasteraan Inggeris dan sebagainya.

“Tetapi ia sangat susah untuk orang yang tidak boleh memahami Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, untuk memahami pengajaran dalam bahasa asing (Inggeris),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas