Berita

Harimau Malaya mungkin tiada aksi persahabatan antarabangsa

SKUAd Harimau Malaya sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.
- Diterbit 3 Mac 2021 10:51 AM MYT

SKUAD kebangsaan berkemungkinan besar memulakan saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun ini tanpa sebarang aksi persahabatan antarabangsa.

Perkembangan itu menambah cabaran yang dihadapi skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang sudah lebih setahun tidak dikumpulkan untuk menjalani latihan berpasukan sejak kali terakhir pada November 2019.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata perbincangan menyediakan perlawanan pemanas badan buat skuad Harimau Malaya tetap diteruskan termasuk cadangan mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan Liga Super.

“Pada masa ini tiada apa-apa perlawanan persahabatan yang boleh dimuktamadkan tetapi perbincangan itu ada. Ini disebabkan perubahan jadual perlawanan semua negara Asia dan juga isu-isu melibatkan imigresen.

“Prosedur operasi standard (SOP) imigresen terutama proses kuarantin mungkin akan menyekat mana-mana pasukan untuk datang ke Malaysia atau pasukan kebangsaan keluar dari negara,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Stuart mengesahkan lebih 30 pemain tempatan akan dipanggil Cheng Hoe bagi menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan selama sembilan hari pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula 23 hingga 31 Mac.

“Selepas sekian lama, panggilan kali ini pasti lebih menarik kerana dapat menyaksikan beberapa muka baharu yang telah mencipta nama dikumpulkan bersama-sama barisan pemain terdahulu untuk Cheng Hoe mencorakkan formasi dan taktikal terbaik buat pasukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata skuad kebangsaan akan menjalani kem latihan pusat itu di Wisma FAM, Kelana Jaya sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak program akan diadakan di venue lain.

Sebelum ini, kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan pada Januari lepas, terpaksa dibatalkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas