Berita

Hari Kraf Kebangsaan 2023 : Perkasa keunikan kraf tempatan

PERADUAN Hadiah Beli, Putar dan Menang merupakan antara aktiviti yang diadakan sempena HKK 2023.
- Diterbit 19 Mac 2023 4:00 AM MYT

BAGI menghargai sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan serta memperkasa produk kraf Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 buat kali ke-20 pada 1 hingga 13 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Haji Ramli berkata penganjuran HKK 2023 yang berlangsung selama 13 hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia sekali gus berjaya mencapai sasaran jualan dan pengunjung yang ditetapkan.

“Acara tahunan ini lebih istimewa kerana ia mengangkat tema ‘Ini Kraf Malaysia’ sebagai suntikan pengetahuan, kesedaran dan kecintaan terhadap produk kraf Malaysia selain turut menghimpunkan seramai 550 usahawan kraf dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) dari seluruh negeri di Malaysia termasuk usahawan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

“HKK 2023 menghimpunkan pelbagai rekaan produk kraf baharu dalam bidang kraf tekstil, hasil rimba, tanah, hasil logam dan aneka kraf yang dibuat sendiri oleh usahawan kraf dari seluruh negeri.

“Selain itu, ia turut mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan kraf, padanan perniagaan, pameran-pameran kraftangan, demonstrasi kraf, persembahan kesenian dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Penyampaian Hadiah Beli, Putar dan Menang di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay pada Ahad lepas.

Menurut ‘Ainu Sham, penganjuran HKK 2023 ini bukan sahaja dapat menggalakkan masyarakat mengguna pakai produk tempatan malah ia juga menjadi medium pertemuan penggiat industri dan pencinta kraf bertukar-tukar pandangan bagi kemajuan industri kraf negara.

“Kami berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan bagi membantu meningkatkan industri kraf negara,” ujarnya.

Terdahulu, HKK 2023 telah dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing dan turut mendapat kunjungan daripada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas