Selebriti

Haqiem rindu berkumpul dengan saudara

HAQIEM rindu berkumpul bersama sanak saudara.
- Diterbit 28 Mei 2020 12:56 PM MYT

SABAN tahun, perayaan Aidilfitri sepatutnya dijadikan peluang untuk berkumpul dengan saudara mara yang jauh mahupun dekat, namun beraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi pengalaman berbeza buat Haqiem Rusli.

Mengakui sambutan Syawal buat diri dan keluarganya tahun ini kurang meriah, penyanyi itu memberitahu dia begitu rindu untuk berkumpul dengan saudara maranya.

“Tahun ini sambutan Syawal saya kurang meriah sebab rumah saya akan menjadi tempat untuk berkumpul.

“Adik beradik ibu saya ada 12 orang, dua orang sudah meninggal dunia, jadi yang 10 orang ini apabila raya semua akan datang berkumpul di rumah saya. Tahun ini saya meraikan Syawal bersama keluarga sendiri sahaja,” kata Haqiem kepada WILAYAHKU.

Tambah lelaki berusia 21 tahun itu lagi, selain bersama saudara, dia juga rindu untuk berkunjung ke rumah kawan secara beramai-ramainya.

Kongsinya, dahulu setiap kali berkumpul, selain berkunjung ke rumah mereka pasti akan bermain mercun bersama.

“Tahun ini saya juga tak boleh beraya di rumah kawan-kawan. Jika dahulu, setiap kali raya kami pasti akan berkumpul pergi beraya dan bermain mercun, tetapi sekarang tidak boleh kerana harus akur dengan arahan kerajaan, tambahan pula bahaya untuk bermain mercun.

“Benar tahun ini sangat lain, paling saya terasa apabila tiada undangan untuk mengadakan persembahan raya,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkini, Haqiem juga akan mengeluarkan sebuah single baharu selewatnya Bulan September depan yang berjudul Adlina Marie. -WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas