Berita

Hanya RM800, sijil digital vaksin dikemaskini dalam MySejahtera

SINDIKET pemalsuan dokumen menghantar
- Diterbit 5 November 2021 3:18 AM MYT

HANYA bermodalkan RM800, individu yang enggan menerima suntikan imuniti boleh mendapatkan sijil vaksinasi yang lengkap seperti penerima lain dalam tempoh tujuh hari.

Menyasarkan golongan antivaksin khususnya penjawat awam seperti guru dan pensyarah, sindiket pemalsuan dokumen turut memberi jaminan bahawa sijil berkenaan bukan sahaja dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera tetapi data peribadi pada sistem yang digunakan kerajaan itu, turut dikemaskini.

Modus operandi baharu itu dipercayai bermula selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan semua penjawat awam termasuk guru mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 November bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Malah, arahan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang membenarkan pengurusan sekolah memeriksa sijil vaksinasi guru bermula Isnin lalu semakin membuka peluang kepada sindiket terlibat untuk mengaut keuntungan atas angin.

Menurut salah seorang individu yang didekati sindiket terbabit, dia amat terkejut apabila menerima mesej berkaitan sijil vaksinasi dengan hanya bermodalkan RM800 daripada individu yang tidak dikenali.

Bimbang ia disalahgunakan kumpulan antivaksin dalam kalangan penjawat awam, beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sakinah memberitahu, laporan polis akan dibuat bagi mematahkan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Bercerita lanjut, ujar beliau, pada awalnya, dia menerima mesej berhubung sijil digital vaksin dan nombor untuk dihubung menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tertarik dengan mesej berkenaan, saya meneruskan perbualan dan bertanyakan jika ia boleh dikemaskini di dalam MySejahtera.

“Jawapan yang diberikan individu berkenaan amat mengejutkan kerana ia boleh dimasukkan di dalam aplikasi kerajaan dan digunakan seperti biasa seperti penerima suntikan vaksin lengkp yang lain,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

Menurutnya lagi, individu yang ingin mendapatkan ‘khidmat’ sijil digital vaksin boleh memberikan dokumen lengkap seperti salinan MyKad, alamat terkini dan sejarah penyakit jika ada.

Katanya, tempoh pemprosesan bagi mengemaskini sijil di dalam sistem MySejahtera adalah tujuh hari bekerja.

“Bukan sahaja mudah dan cepat tetapi ia melibatkan sistem kerajaan. Ia menyebabkan saya berfikiran bahawa kemungkinan terdapat kerjasama daripada ‘orang dalam’ atau pakar penggodam,” ujarnya sambil menambah, individu tersebut menggunakan WhatsApp bisnes.

Justeru, beliau berharap individu yang menjalankan ‘perniagaan’ seumpama itu dapat diberkas bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sekali gus memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terjamin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas