Berita

Hanya e-hailing dibenarkan untuk tempah juadah berbuka

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 16 April 2020 7:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan sebarang konsep E-Bazar berbentuk pandu lalu tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan konsep itu termasuk daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Dewan Bandaraya Kuala Kuala Lumpur (DBKL) pada sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kabinet hari ini telah memutuskan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar dan gerai Ramadan termasuk di dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil adalah tidak dibenarkan.

“Jadi tiada isu berkaitan bazar Ramadan atau e-iftar,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menegaskan hanya perkhidmatan pesan dan penghantaran melalui sistem e-hailing sahaja dibenarkan.

Sebelum ini, KWP mencadangkan konsep baharu bazar Ramadan menerusi pandu lalu, ‘pack and pick’ dan e-hailing melibatkan beberapa dapur berpusat yang ditetapkan.

Berdasarkan konsep tersebut, peniaga akan disusun mengikut jenis juadah, semua makanan dijual siap dibungkus, kedudukan kanopi dalam barisan dengan jarak 20 meter di antara satu kanopi dan hanya satu kenderaan sahaja di setiap gerai pada satu masa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas