Berita

Hanya 19 kes Covid-19 hari ini, tiada kematian baru

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 7 Jun 2020 10:17 AM MYT

JUMLAH jangkitan kes baharu positif COVID-19 yang dilapor hari ini masih kekal dua digit iaitu 19 kes dan tiada kematian dilaporkan.

Dengan sifar kematian dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak berkenaan kekal 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import dan 13 kes lagi adalah penularan di dalam negara.

“Bagi penularan dalam negara itu, dua kes adalah bukan warganegara dan 11 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,322 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,531 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,674 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Memperincikan 11 kes melibatkan warganegara itu, katanya sebanyak enam kes dikesan di Selangor, dua di Wilayah Persekutuan, dua di Sabah dan satu di Negeri Sembilan.

Katanya di Selangor, dua kes saringan pusat rehabilitasi di Dengkil; dua kes saringan madrasah tahfiz dan satu kes Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah di Sabak Bernam serta satu kes saringan tempat kerja di Klang.

“Di Kuala Lumpur pula, masing-masing satu kes membabitkan Kluster Pangsapuri Cheras dan Kluster Gombak (kluster baharu), iaitu saringan kontak rapat kes 7064 dan kes 7246.  

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas