Berita

Hampir 27 juta penduduk Malaysia dijangka terima vaksin COVID-19 tahun depan – PM

- Diterbit 18 Januari 2021 10:21 AM MYT

HAMPIR 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Februari ini, dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinasi ini berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

“Perancangan program vaksinasi kita adalah on-track (mengikut jadual). Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung Februari nanti.

“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan diberi perhatian utama.

“Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini,” katanya dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan serta platform media sosial hari ini.

Perdana menteri berkata garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan kelak.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.

“Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai bencana banjir yang melanda negara, Muhyiddin berkata kerajaan menyediakan peruntukan awal sebanyak RM200 juta bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana itu.

“Saya telah mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan, untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu baru-baru ini.

“Di samping itu, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut,” katanya.

Perdana Menteri dalam pada itu turut menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meredah banjir serta terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di Pahang baru-baru ini.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia termasuk sektor korporat dan sukarelawan yang membantu menangani wabak COVID-19 dan bencana banjir selain menyeru semua agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di mana sahaja.

“Saya percaya kepintaran, ketabahan dan ketahanan yang ada dalam semangat Malaysia yang sejati akan membantu kita menghadapi kesusahan yang hebat ini. Kita akan menang, insya-Allah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas