Berita

Hamidah teruja rumah berwajah baru

WAN AZIZAH (dua dari kanan) dan Azman Abidin (kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Hamidah Moin (kiri)
- Diterbit 19 Mei 2023 8:43 AM MYT

KEHIDUPAN sebuah keluarga yang hidup dalam keadaan rumah dipenuhi timbunan besi buruk dan barangan terbuang selama 20 tahun berubah selepas rumahnya diubah suai dengan wajah baharu menerusi Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan.

Hamidah Moin, 63, meluahkan rasa syukur sebaik menerima semula kunci rumah yang diduduki bersama suami dan seorang anak kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran di Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Alhamdulillah terima kasih kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana meringankan beban yang ditanggung suami terutama dalam hal penyelengaraan rumah.

“Sejujurnya, saya tidak sangka terpilih menjadi peserta pertama yang rumahnya dibaik pulih semula. Saya gembira dengan keadaan rumah yang sudah berubah menjadi lebih cantik dan selesa berbanding sebelum ini.

“Saya diberitahu bahawa rumah ini telah dicat semula selain dilengkapkan dengan perabot seperti meja solek, almari, sofa, kabinet dapur selain pihak kontraktor juga turut memperbaiki kerosakan yang ada,” ujarnya kepada Wilayahku ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci di Dewan Serbaguna Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Ibu kepada tiga orang anak ini membantu suaminya yang bekerja di bahagian perkhidmatan di salah sebuah pusat beli-belah dengan mengumpul besi buruk dan barangan terbuang bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Kalau saya dapat kumpul besi buruk sebanyak satu lori, kos upah yang diterima ialah RM90, itupun ambil masa selama dua minggu. Tambahan, kos rawatan anak OKU dan pembelian barang keperluannya seperti lampin dan susu juga mahal,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah mengharapkan bantuan ini dapat membantu memperbaiki keadaan yang dilalui Hamidah sekeluarga di samping memberi keselesaan kepada mereka.

“Saya juga percaya melalui program ini menunjukkan bahawa kita komited dalam memenuhi keperluan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk miskin bandar di sekitar kawasan Bandar Tun Razak untuk mendapat rumah yang bersih serta selesa.

“Dalam masa yang sama, konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan sehingga sampai kepada golongan yang memerlukan supaya keselesaan dapat dirasai,” jelas beliau.

Beliau juga turut mengucapkan syabas kepada Pengerusi Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin selaku rakan kerjasama utama termasuk rakan-rakan strategik yang lain di atas usaha membaik pulih sebuah unit rumah dalam tempoh dua bulan sahaja.

Terdahulu, program rintis ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM30,000 selain dijangka turut akan diperluaskan kepada penduduk masyarakat Cina dan India dalam golongan B40 di sekitar Bandar Tun Razak. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas