Berita

“Hal mati jangan buat main” – Menantu Jamali Shadat

DATUK Jamali Shadat masih uzur. Sama-sama doakan ya! Foto: Siti Zabedah Sood
- Diterbit 23 Januari 2021 2:22 AM MYT

MENANTU  Datuk Jamali Shadat,78,  Siti Zabedah Sood, terkilan dengan sikap sesetengah individu yang menyebarkan berita palsu tentang kematian ayah mertuanya.

“Hal mati jangan buat main. Kalau tak pasti jangan kongsi. Sebaiknya bertanya dan siasat dulu.

 “Ayah okey lagi. Saya baru saja selesai mandikan dan suapnya makanan,” jelasnya yang berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi.

Siti yang juga isteri kepada Fauzi Jamali ini juga menyatakan dirinya tidak mengetahui individu yang menyebarkan berita palsu itu.

“Selama ini, saya dan suami sering mendengar berita palsu mengenai kematian golongan artis, kali ini terjadi dekat ayah kami.

“Jujur saya sendiri tak tahu siapa pun yang menyebarkan berita palsu ini di media sosial,” katanya lagi yang menjelaskan keadaan Ayah mertuanya masih uzur seperti mana yang dilaporkan media.

Pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan-rakan berbilang kaum.

Jamali menjalani pemeriksaan untuk darah tinggi, kencing manis dan tahap kolestrol di klinik berdekatan tiga bulan sekali.

Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Semoga Jamali kembali sihat dan segalanya dipermudahkan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas