Berita

Guru KAFA, Takmir JAKIM terima elaun penuh

35,000 guru KAFA JAKIM terima elaun penuh, RM1,000. Guru Takmir, RM800
GURU KAFA mengajar ilmu fardu ain. - Foto: Facebook KAFA KUNAK
- Diterbit 21 Mac 2020 3:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 35,000 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerima elaun penuh sebanyak RM1,000 walaupun sesi pembelajaran tidak diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menyedari kesulitan yang dihadapi guru KAFA JAKIM di seluruh negara kerana tidak dapat melaksanakan tugas ekoran arahan kerajaan susulan wabak Covid-19 mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Jelasnya, susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju supaya pembayaran elaun penuh kepada semua guru KAFA diteruskan bagi Mac ini.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat beliau yang telah melancarkan kempen #musaadahcovid19 bagi membantu mereka yang terjejas dengan isu Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Hakimah, seramai 4,000 Guru Takmir Masjid lantikan JAKIM di seluruh negara juga akan menerima elaun penuh sebanyak RM800 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas