Gunting rambut percuma:150 anak golongan B40 dibantu

Gunting rambut percuma:150 anak golongan B40 dibantu

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 150 kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) hari ini menerima manfaat menerusi program gunting rambut percuma menjelang pembukaan sesi persekolahan minggu depan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Jalinan Amal Kuala Lumpur, Mohd. Azhari Ayob berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM3,500 bagi melaksanakan program kali kedua yang diadakan pada tahun ini.

Katanya, ahli jawatankuasa persatuan itu akan meniliti proses pemilihan dan membanci setiap keluarga bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang layak sahaja.

“Ini salah satu sebab kami pilih kawasan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi kerana ada ramai keluarga golongan B40. Malah, ada yang berpendapatan dibawah RM 3,500 dengan jumlah ahli kelurga yang ramai.

“Maka, dengan bantuan seperti inilah boleh membantu meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa membeli barangam keperluan persekolahan setiap hujung tahun,” katanya ketika ditemui dalam Program Gunting Rambut Percuma di sini hari ini.

Selain Persatuan Jalinan Amal Kuala Lumpur, program tersebut turut melibatkan Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

ANTARA reaksi dan gelagat pelajar yang menyertai Program Gunting Rambut Percuma di PPR Kerinchi. – FOTO:NAZIRUL ROSELAN

Dalam pada itu, Mohd. Azhari berkata, pihaknya juga bersedia menambah kuota dan jumlah bantuan pada masa hadapan bagi memastikan perbelanjaan golongan B40 dapat diringankan terutama menjelang persekolahan. -WILAYAHKU

CATEGORIES