Berita

Grand coalation – misi menyelamatkan negara

- Diterbit 17 November 2020 11:51 AM MYT

IDEA mewujudkan gabungan besar parti-parti politik perlu dilaksanakan agar kerjasama politik dapat dirintis bagi mencapai kestabilan politik dan memulihkan ekonomi dalam suasana yang penuh mencabar ekoran kesan pandemik COVID-19 kata Penganalisis Politik, Datuk Khalid Jaafar.

Katanya, idea tersebut adalah sesuatu yang memberangsangkan kerana negara kini menghadapi suasana politik yang tidak berkesudahan sehingga merugikan semua pihak.

“Semua pihak termasuk rakyat telah bercakap tentang perlunya kestabilan dan kemantapan politik. Tetapi bagi ahli politik, mereka hanya bercakap seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kerana tidak ada cadangan konkrit tentang macam mana untuk mencapai perpaduan dalam negara.

“Kestabilan politik dalam menghadapi pandemik serta cabaran ekonomi yang kian melebar perlu ditangani segera dan melalui gabungan tersebut, ia dapat memperbaiki negara ke arah itu,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Khalid berkata, pihak pembangkang perlu realistik dalam hal ini kerana kerajaan sedang memberikan tumpuan dalam menyelesaikan masalah covid dan mencerdaskan semula ekonomi.

“Dalam usaha untuk memberikan kestabilan politik kerajaan boleh memilih untuk membubarkan parlimen namun dalam keadaan sekarang, ia tidak boleh dilakukan.

“Percubaan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan juga telah gagal beberapa kali dan mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak ada dokongan yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan ini.

“Perkara ini telahpun disebut berulang kali bahkan Yang Dipertuan Agong dalam titahnya juga telah mengingatkan mereka, namun ketua parti-parti pembangkang ini berpilihan lain.

“Oleh itu mereka perlu menerima idea tersebut dan memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Ujar beliau, usaha kerajaan dalam mencerdaskan ekonomi melalui pembentangan belanjawan perlu disokong semua pihak kerana ia bersifat menyeluruh dan realistik.

“Pihak pembangkang perlu akur kepada titah Yang Dipertuan Agung dalam pembentangan belanjawan untuk tahun hadapan kerana kesemua rangka belanjawan ini adalah untuk membantu membangunkan semula rakyat kita yang terkesan dengan pandemik ini.

“Sekiranya mereka menolak belanjawan ini, ia adalah satu usaha untuk mensabotaj ekonomi negara dan mengkhianati negara.

“Malah tindakan itu juga menzahirkan penderhakaan kepada titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan dalam negara,

Memberikan dokongan kepada program-program pembangunan ekonomi yang dirangka oleh kerajaan melalui Bajet 2021 ini,” katanya.

Khalid berkata, melalui kestabilan tersebut, ia dapat memudahkan usaha yang sedang dirintis oleh kerajaan untuk pemulihan ekonomi melalui penganjuran persidangan antarabangsa,

“Agenda besar dalam pemerkasaan ekonomi seperti persidangan Mesyuarat Kerjasama ekonomi Asia Pasific (APEC), ASEAN, ARCEP dan sebagainya telah pun dilaksanakan. ”

“Ia menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh untuk memenuhi hasrat rakyat yang kini terkesan dengan masalah ekonomi dalam kekangan yang ada selain bertindak proaktif,” katanya.

Khalid dalam pada itu menyeru pihak pembangkang termasuklah Blok Pakatan Harapan untuk memberikan dokongan terhadap idea tersebut untuk bersama-sama membangunkan negara.

“Ia bukanlah idea yang baharu kerana telah berlaku pada tahun 1970-an selepas negara menghadapi suasana getir ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang lalu.

“Idea tersebut dapat menggabungkan kesemua parti pembangkang di dalam Barisan Nasional (BN) dan berjaya memakmurkan negara pada masa itu,” – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas