Berita

Graduan sambut baik jaminan KPT pelajar tidak akan diarah pulang

- Diterbit 18 Februari 2021 10:17 AM MYT

PERSATUAN Graduan Muda Malaysia (Graduan) menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi jaminan bahawa tiada pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan kembali ke kampus pada 1 Mac ini, akan diarahkan pulang ke rumah.

Presiden Graduan, Lee Seang Hock dalam kenyataan hari ini berkata jaminan itu penting agar pelajar dapat merancang perjalanan pulang dan pembelajaran di kampus dengan lebih teratur serta dapat mengelakkan masalah logistik dan keperluan asas.

Lee turut mencadangkan kakitangan dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari zon merah diberi keutamaan dalam proses vaksinasi supaya risiko jangkitan COVID-19 kekal di paras paling minima.

“Selain itu, Graduan berpandangan bahawa pelbagai langkah alternatif perlu disediakan supaya pelajar tahun akhir tidak menghadapi masalah dalam mencari peluang pekerjaan dan latihan industri memandangkan aktiviti ekonomi di Malaysia masih belum dapat pulih sepenuhnya buat masa ini.

Antara cadangannya adalah menjalankan latihan industri secara maya dan menawarkan pekerjaan secara project based atau kontrak sementara yang telah dijalankan di negara-negara asing,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas