Utama

Grab rentasi 100 bandar Asia Tenggara

APLIKASI baharu Grab membolehkan pengguna menghantar pelbagai barangan keperluan merentasi sempadan.
- Diterbit 24 Disember 2021 4:29 AM MYT

PENGGUNA Grab kini boleh menghantar hadiah cenderahati mengikut permintaan secara segera kepada orang tersayang di 100 bandar Asia Tenggara termasuk Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

Menerusi ciri terbaru aplikasinya, 100+ Cities Delivery (BETA), pengguna boleh membuat pesanan dan menghantar makanan mahupun hadiah fizikal dari GrabFood serta GrabMart rakan peniaga yang terdapat di bandar raya penerima dalam tempoh masa sejam.

Difahamkan, inovasi teknologi baharu itu turut meningkatkan keupayaan Grab menyampaikan hadiah cenderahati mengikut permintaan supaya pelanggan boleh berhubung dengan orang tersayang.

Ketua Pemasaran Negara Grab Malaysia, Hassan Alsagoff berkata, penggunaan perkhidmatan Grab sebagai platform menyelesaikan masalah sekatan pergerakan ketika pandemik, amat memberangsangkan.

“Kebanyakan bermula dengan membeli makanan dan barangan keperluan lain untuk diri sendiri, kemudian bertukar menjadi usaha lazim mengekal perhubungan antara orang tersayang.

“Sesungguhnya kami teruja kerana kini dapat merapatkan hubungan kasih sayang walau jarak berjauhan. Diharap semua pengguna di Asia Tenggara dapat merasakan kehangatan musim perayaan yang bakal menjelang tiba,” jelasnya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman baru dalam menyampaikan hadiah merentasi sempadan ini akan menepati pelbagai pilihan pengguna sama ada menghantar cenderamata berupa baucar GrabGifts untuk orang tersayang pilih sendiri hadiah masing-masing atau gembirakan mereka dengan pemberian hadiah jenama kegemaran, makanan atau sebagainya.

Katanya, kategori baucar Grab merangkumi makanan, mart, ekspres dan khidmat penghantaran.

“Para pengguna boleh membuat pilihan daripada pelbagai sajian disediakan GrabFood untuk orang tersayang yang menetap di Asia Tenggara, termasuk sajian klasik Krismas ala Asia Tenggara seperti leche flan, ayam kodok dan ayam belanda sumbat.

“GrabMart mempunyai senarai item kegemaran waktu perayaan seperti coklat dan lain-lain hadiah popular untuk kanak-kanak seperti alat-alat permainan. Pelajari cara guna ciri tersebut dan semak syor Grab pada katalog hadiah berikut,” jelasnya sambil menyatakan pengguna boleh menghantar tiga baucar kepada penerima.

Tambah beliau, sejajar musim perayaan dan akhir tahun, Grab menyediakan inisiatif khas yang menjadikan penyampaian hadiah lebih murah dan berbaloi di kesemua lokasi terpilih.

“Pengguna juga boleh berjimat sehingga potongan 50 peratus bagi idea minit terakhir menerusi GrabGifts. Untuk maklumat lanjut tentang Inisiatif Cenderahati Hujung Tahun Grab, sila layari: LAST MINUTE GIFTING,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas