Berita

Gorila di Zoo San Diego AS positif COVID-19

- Diterbit 12 Januari 2021 4:13 AM MYT

BEBERAPA gorila di Taman Safari Zoo San Diego di California, Amerika Syarikat (AS), positif COVID-19, mungkin kejadian pertama membabitkan penularan terhadap spesies beruk besar, lapor Agensi Berita Xinhua menurut pegawai zoo pada Isnin.

Pegawai pengendali Zoo dan Taman Safari Zoo San Diego, dalam satu kenyataan berkata mereka menguji sampel najis gorila melalui Sistem Makmal Kesihatan Haiwan dan Keselamatan Makanan California selepas dua ekor gorila mengalami batuk pada 6 Januari.

Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional Jabatan Pertanian AS pada Isnin mengesahkan keputusan positif. Hasil ujian mendapati kewujudan SARS-CoV-2, virus penyebab COVID-19, pada beberapa gorila dan tidak menolak kemungkinan kehadiran virus pada gorila lain dalam kumpulan haiwan itu, menurut kenyataan itu.

“Selain mengalami selesema dan batuk, gorila tersebut dalam keadaan baik,” kata Pengarah Eksekutif Taman Safari Zoo San Diego Lisa Peterson, sambil menambah gorila tersebut tetap dikuarantin bersama.

Menurut beliau, haiwan itu disyaki dijangkiti daripada petugas yang tidak mempunyai gejala, sungguhpun semua langkah berjaga-jaga dengan mematuhi protokol keselamatan COVID-19 kesihatan awam telah diambil.

“Kajian penyelidikan mengesahkan beberapa primat bukan manusia terdedah kepada jangkitan SARS-CoV-2, tetapi ini adalah contoh pertama penularan semula jadi kepada beruk besar dan tidak diketahui sama ada ia akan mengalami tindak balas serius,” kata pegawai.

Taman Safari Zoo San Diego, tarikan utama pelancong di daerah ini, ditutup kepada umum sejak 6 Disember 2020.

Terdapat laporan mengenai haiwan yang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) di laman web rasminya menyatakan terdapat risiko manusia menyebarkan virus COVID-19 kepada haiwan dan kes pertama haiwan disahkan positif di AS membabitkan seekor harimau di sebuah zoo di New York. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas