GOMSPV terajui penyediaan infrastruktur 5G – Saifuddin

GOMSPV terajui penyediaan infrastruktur 5G – Saifuddin

PENYEDIAAN infrastruktur 5G di negara ini akan diterajui sebuah entiti khusus milik kerajaan atau Government of Malaysia Special Purpose Vehicle (GOMSPV), yang dikawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, penyediaan dan pengurusan infrastruktur 5G oleh GOMSPV yang melibatkan pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun itu, membolehkan pengagihan kapasiti 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dilaksanakan secara saksama dan telus.

Katanya model pelaksanaan itu juga akan menjimatkan perbelanjaan modal syarikat telekomunikasi, dan mengelakkan pertindihan infrastruktur jika mereka membina rangkaian infrastruktur secara berasingan.

“Kesan penjimatan dan pelaksanaan yang teratur ini akan dapat dinikmati oleh pengguna dalam bentuk kos perkhidmatan 5G yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, perkongsian infrastruktur di bawah GOMSPV membolehkan, syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih luas dan kos yang kompetitif kepada pengguna, di samping menjana pulangan lebih tinggi.

Saifuddin berkata, ia juga akan melonjakkan penggunaan 5G dengan lebih cepat dan meningkatkan keupayaan ekonomi, dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

Beliau berkata, melalui kaedah itu juga syarikat telekomunikasi dapat menumpukan perhatian kepada usaha memperluas liputan gentian optik, dan memantapkan liputan 4G ke seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

“Liputan 4G yang mantap memberi sokongan rangkaian dan menyediakan asas kukuh untuk penggunaan 5G,” katanya.

Menurut Saifuddin, liputan yang baik, literasi digital yang tinggi, kos yang berpatutan, dan inovasi yang dinamik, akan menyumbang kepada ekosistem ekonomi digital yang berdaya saing seperti dihasratkan di bawah MyDIGITAL, yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, MCMC selaku pengawal selia pelaksanaan 5G, akan menyediakan lesen operasi mengikut syarat-syarat yang dipersetujui, dan peruntukan jalur spektrum kepada GOMSPV untuk pelaksanaan 5G.

Sejajar dengan usaha itu, Saifuddin berkata kerajaan juga memberi komitmen untuk mewujudkan Pusat Pengalaman Digital Negara, bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kegunaan 5G serta membantu peralihan dan inovasi 5G.

“Saya yakin dengan persefahaman dan usaha yang menyeluruh, kita mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, menerusi agenda pelaksanaan 5G yang cekap ke arah aspirasi MyDIGITAL menjelang tahun 2030.

“Bersama-sama kita usahakan Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital global, yang kemakmurannya dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Semasa melancarkan MyDIGITAL, Perdana Menteri berkata teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS