Berita

Golongan asnaf, frontliners terima daging lembu sempena Hari Kebangsaan

BAHSIR (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan daging lembu kepada Ketua Kampung secara pandu lalu di Perkarangan Jabatan Veterinar Labuan, pada Sabtu.
- Diterbit 6 September 2021 6:30 AM MYT

SEBANYAK 800 pek daging lembu diagihkan kepada golongan asnaf, B40 dan petugas barisan hadapan di sini, bersempena Program Semarak Bulan Kebangsaan 2021 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Pengarahnya, Sharidah Zainal Abidin berkata, sumbangan itu merupakan sumbangan dari syarikat QSR Brand Sdn Bhd yang telah menyumbangkan sebanyak 10 ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan sasar.

“Sebanyak 500 pek daging akan diagihkan kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti di 27 buah kampung yang diselaraskan oleh Ketua-Ketua Kampung masing-masing.

“Manakala 300 pek lagi akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan,’’ katanya kepada pemberita di Program Sumbangan Daging Lembu Kepada Golongan Sasar dan Petugas Barisan Hadapan secara pandu lalu di Perkarangan Jabatan Veterinar Labuan, pada Sabtu.

Program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias secara pandu lalu di Perkarangan Jabatan Veterinar Labuan, pada Sabtu.

Bashir berharap program yang diadakan sepanjang bulan Kebangsaan ini dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat khususnya penduduk di pulau ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Tahniah dan syabas kepada JAWI dan jabatan yang terlibat yang telah menjayakan program ini dan kita ucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat QSR Brand yang telah menyumbangkan 10 ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan sasar B40 dan petugas barisan hadapan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Daud dan Pengarah Jabatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas