Utama

GL@W tambah 10 khemah mewah

GL@W menawarkan perkhemahan glamor dan santai di dalam bandar Putrajaya.
- Diterbit 15 April 2022 2:30 AM MYT

SEJAK dibuka kepada pengunjung hujung tahun lalu, Glamping@ Wetland Putrajaya (GL@W) yang terletak di Taman Wetland Presint 13, Putrajaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Bermula dengan 10 unit glamping yang menjanjikan perkhemahan glamor, kini ia ditambah 10 unit lagi yang mampu memuatkan seramai 80 orang pada satu-satu masa.

Menurut Pengasas GL@W, Mohd Nor Arif Mohd Azmi, 36, pertambahan khemah tersebut dapat menampung pengunjung yang semakin teruja untuk menginap dan merasai suasana bermalam dalam khemah mewah.

“Kalau sebelum ini kita hanya mampu memuatkan 30 orang dewasa sahaja. Untuk akan datang kita akan lihat kepada permintaan. Mungkin kita akan menambah lagi bilangan khemah,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambahnya lagi, pengunjung teruja kerana glamping merupakan satu-satunya trend pelancongan terkini yang menjanjikan pengalaman menakjubkan setanding penginapan hotel lima bintang.

“Setiap khemah dilengkapi permaidani, kipas, pendingin hawa, ‘hammock’, tilam yang empuk serta penapis udara buat keselesaan pengunjung yang datang menginap.

“Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah antaranya ATV ride yang beroperasi sepenuhnya pada 10 Februari lalu,” ujarnya sambil menambah pengunjung berpeluang mengelilingi Taman Wetland yang hanya memakan masa selama satu jam setiap pusingan.

Dalam pada itu, menurutnya lagi, sempena bulan Ramadan, pihaknya turut menawarkan bufet Ramadan eksklusif untuk memenuhi selera pengunjung yang menginap ataupun hadir untuk berbuka puasa di GL@W. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas