Berita

Gila Juara AJL 35

- Diterbit 14 Mac 2021 3:58 PM MYT

LAGU Gila Nyanyian Kaka Azraf, Noki dan Loca B dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

Naib Juara telah disandang oleh Aina Abdul menerusi lagu ciptaannya sendiri iaitu Semalam yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita dengan lagu yang Belenggu Rindu yang berjaya menerima wang tunai berjumlah RM20,000.

Sementara itu, Ernie Zakri dinobatkan sebagai penerima anugerah vokal terbaik menerusi lagunya Gundah dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Zizi Kirana pula diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, sekali gus memenangi trofi dan wang tunai RM12,000.

AJL 35 berlangsung tanpa penonton anjuran TV3 dan Media Prima Berhad itu disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam ini.

Tirai persembahan AJL35 dibuka dengan persembahan Ratu Rock, Ella bersama Naim Daniel dan Yonnyboii.

Selain itu, buat kali pertama, lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju yang berjudul Baik Semula akan dipersembahkan.
Lagu berkenaan berkisar penularan COVID-19 yang berlaku di Malaysia sekarang.

Selain itu, persembahan interlude AJL35 bertemakan Projek Band akan menampilkan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret.

Semua kumpulan mempersembahkan aksi medley dan ‘mash up’ lagu terbaik, sambil bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.
Manakala, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni selaku hos mengendalikan AJL 35 dalam situasi norma baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas