Berita

Generasi muda perlu hayati prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara

AGONG titah tangguhkan acara sambutan Hari Keputeraan susulan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini. Kredit foto oleh: Utusan
- Diterbit 12 Ogos 2020 1:53 AM MYT

GENERASI muda perlu mendukung dan menghayati prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara bagi memastikan pemahaman terhadap falsafah itu diterapkan secara menyeluruh sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata generasi itu juga perlu menyemai semangat cintakan negara serta menghormati institusi diraja lebih-lebih lagi golongan muda bakal menjadi pemangkin kesejahteraan negara pada masa akan datang.

“Kita harus jelas bahawa Rukun Negara dengan lima prinsip bukanlah hanya teks bersifat layu dan lesu, malah ia sebenarnya teks yang mempunyai jiwa dan roh yang harus difahami dan dihayati seluruh masyarakat terutama orang muda.

“Anak muda bakal dan ada telah jadi pemimpin negara, kita harus tahu sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini merupakan paksi kepada negara… negara akan terus gemilang jika kita terus mempertahankannya,” kata beliau ketika menjadi tetamu program Darah Muda terbitan Bernama TV, malam ini.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungan antara rakyat dan kerabat diraja dalam media sosial Istana Negara, beliau berkata golongan muda antara pengikut paling ramai, melebihi 50 peratus dan ia jelas menunjukkan sokongan mereka kepada institusi diraja.

“Saya rasa bagi meningkatkan semangat cintakan kepada institusi diraja, perlu banyakkan tontonan mengenai aktiviti Raja.

“Misalnya institusi diraja buat lawatan ke rumah orang susah dan beri bantuan kepada rakyat, supaya kita dapat lihat Raja bukan hanya bersemayam di istana, tetapi turut turun padang mendengar sendiri rintihan rakyat,” katanya. -Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas