Berita

Gelandangan akan dipindah ke penempatan khas – Annuar

GELANDANGAN menantikan makanan daripada NGO yang prihatin dengan nasib mereka. - Arkib Wilayahku
- Diterbit 24 Mac 2020 8:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan memindahkan golongan gelandangan dan individu yang tidak mempunyai penempatan ke beberapa lokasi yang ditetapkan antaranya Rumah Gelandangan dan Anjung Singgah di sini.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, keputusan itu dikeluarkan bagi menjaga kebajikan golongan terbabit sekali gus membolehkan mereka menetap di satu tempat dan tidak berkeliaran.

“Saya dimaklumkan bahawa Rumah Gelandangan mampu memuatkan 150 orang manakala 100 orang di Anjung Singgah.

“Bagaimanapun, Anjung Singgah mempunyai kekurangan fasiliti seperti tilam dan bantal. Oleh itu, saya meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menyediakan kelengkapan berkenaan selain bantuan-bantuan yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas selepas Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKN WP) hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut menyeru beberapa NGO terlibat untuk bekerjasama dengan kerajaan berikutan sembilan tapak disediakan untuk proses penyerahan bantuan makanan kepada gelandangan.

Jelas beliau, ia penting kerana petugas yang diarahkan menggunakan pakaian yang bersesuaian selain memudahkan proses pengumpulan serta pengagihan yang diselaraskan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kementerian akan berusaha memastikan kesemua gelandangan diberikan tempat tinggal sepanjang tempoh ini selepas mendapati terdapat lebih 500 orang di sekitar ibu negara berbanding tempat tinggal yang hanya memuatkan 250 orang sahaja.

“Itu usaha untuk jangka masa pendek. Kita juga sudah merencanakan bantuan bagi tempoh jangka masa panjang yang akan diumumkan nanti,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas