Berita

Gara-gara dikaitkan isu curang, Shuk digantung tugas sebagai penyampai radio Hot FM

- Diterbit 25 Januari 2021 7:40 PM MYT

PENYAMPAI radio Hot FM, Shuk Sahar digantung perkhidmatan daripada stesen itu, mulai hari ini.

Menerusi kenyataan media, pihak pengurusan stesen radio Hot FM mengesahkan, perkhidmatan Shuk digantung serta merta.

“Penggantungan sementara perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan Hot FM melakukan siasatan dalaman mengenai isu yang sedang tular dalam media sosial.

“Perkembangan terkini penggantungan Shuk akan diumumkan oleh pihak pengurusan Hot FM selepas siasatan dalaman selesai,” katanya. 

Terdahulu, kisah rumah tangga bergolak Shuk kembali tular dan menjadi bualan dalam laman sosial apabila isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera mendakwa suaminya curang.

Menerusi beberapa entri yang dimuat naik di Instagram (IG), Sera mendedahkan suaminya masih menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain. Shuk juga pernah dikaitkan dengan seorang wanita sekitar Julai tahun lalu.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratul Ain dan Nur Assyifatu Aimy.

Di stesen Hot FM Shuk mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Fizi dan Shuib. 

Shuk juga popular menerusi program hiburan seperti I Can See Your Voice Malaysia dan Jenaka Kampung Kalut (JKK). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas