Berita

Gara-gara dedah kecurangan, mekanik sanggup bunuh isteri

- Diterbit 7 Mei 2022 10:15 AM MYT

SEORANG wanita dibelasah hingga mati oleh suaminya, Ahad lalu, iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Gara-gara mendedahkan kecurangan suami, mangsa yang tinggal di flat dekat Balai Batu 9, Kajang, disepak dan dipukul dengan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.

Memetik laporan Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, satu laporan dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Kajang berkaitan mangsa yang dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa yang berumur 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar suaminya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Kata beliau, pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan berkenaan mendapati kematian itu mencurigakan sebelum bertindak melaporkannya kepada polis.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.

“Siasatan dijalankan mendapati mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Mengulas lanjut, kata beliau, susulan itu, suami kepada mangsa yang bekerja sebagai mekanik berumur 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek marah dengan mangsa disebabkan mangsa memuat naik dalam media sosial bahawa suspek mempunyai hubungan sulit.

“Kes telah dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwaraya Selangor dan suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majisret Kajang,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas