Berita

Gangguan bekalan air, elektrik bertambah buruk dengan cuaca panas terik di Labuan

- Diterbit 17 Mei 2023 10:00 AM MYT

GANGGUAN bekalan air dan elektrik tidak berjadual di pulau bebas cukai ini bertambah buruk dengan keadaan cuaca panas pada masa ini.

Penduduk Labuan yang berhadapan kesukaran akibat gangguan bekalan itu yang berpanjangan dan turut meluahkan rasa kesal di platform media sosial, merayu kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian yang berkesan.

“Selepas berdepan kesukaran dengan gangguan air dan elektrik setiap minggu, pulau ini yang dikelilingi laut, kini semakin buruk dengan keadaan cuaca yang panas terik.

“Tiada bekalan air, elektrik dan kini kami perlu duduk di dalam rumah sendiri kerana cuaca yang terlampau panas,” kata Rosli Bahrum, 43.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Labuan merekodkan suhu setinggi 38 darjah Celsius (setakat 1.30 tengah hari ini) dan keadaan cuaca panas dijangka berterusan hingga Mei.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan catuan bekalan elektrik sejak akhir bulan lepas kerana kekurangan kapasiti penjanaan di grid kuasa di Labuan dan Sabah yang menjejaskan beberapa kampung termasuk di Labuan.

Jurucakap SESB berkata sekurang-kurangnya dua feeder melibatkan beberapa kampung hari ini terlibat dengan catuan bekalan elektrik selama satu hingga tiga jam.

“Kami tidak dapat mengesahkan bila catuan ini akan berakhir kerana ia diklasifikasikan sebagai krisis negara,” katanya kepada Bernama.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Bukit Kalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kalam, Kampung Pulau Akar, Dewan Arena Kampung Kilan, Taman Lazenda 6, Perumahan Perbadanan Labuan (PL), Pam JBA Bukit Kuda, Perumahan Kastam Bukit Kuda, Kampung Bukit Kuda, JS Sport Centre dan kawasan sekitar, Kolej Vokasional Labuan, Kampung Lajau, Lazenda Villa 5 dan kawasan sekitarnya.

Bahagian Bekalan Air Labuan dalam kenyataan semalam memaklumkan pam air IPS Bukit Kalam tidak berfungsi kerana terjejas dengan catuan bekalan elektrik, menyebabkan ia sukar untuk mengepam keluar air ke tangki pengimbang di Bukit Besar.

Lebih 29 kampung dan beberapa kawasan perumahan dijangka mengalami gangguan bekalan air apabila paras air dalam tangki pengimbang itu semakin surut, dijangka hari ini.

Kawasan terjejas ialah Kiamsam melibatkan Kampung Bebuloh, Kampung Belukut, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Bedaun dan Taman Mahkota Impian di Jalan Bukit Timbalai serta Kampung Layangan, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan, Kampung Bukit Kuda dan kawasan di Kampung Bukit Kalam di Layangan.

Turut terkesan ialah Kampung Durian Tunjong, beberapa kawasan di Jalan Penghulu Tuah, Kampung Lajau, Kampung Ganggarak, Kampung Merinding, Kampung Pohon Batu, Pancur Hitam, Kampung Batu Manikar, Tanjung Kubong, Lubok Temiang dan kawasan di sekitar Pohon Batu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas