WK2

Galeri Kanak-Kanak Muzium BNM pupuk sikap menabung

GALERI Kanak-Kanak menarik perhatian golongan cilik menerusi permainan interaktif berasaskan 'Save, Spend and Share'.
- Diterbit 3 Februari 2023 8:00 AM MYT

GALERI Kanak-Kanak yang terdapat di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) menarik perhatian golongan cilik menerusi permainan interaktif berasaskan ‘Simpan, Belanja dan Berkongsi’ (Save, Spend and Share).

Terletak di aras bawah, galeri ini mengetengahkan konsep pendidikan dalam bentuk gambaran dan permainan yang mana mereka akan mempelajari tentang kepentingan kewangan, perbelanjaan dalam kehidupan selain mengetahui konsep kewangan dan tabungan.

Menariknya, tatkala memasuki sahaja pintu masuk galeri ini, pengunjung akan melalui ‘Terowong Sejuta Ringgit’ yang mengandungi kepingan wang kertas berjumlah RM1 juta dalam pelbagai siri dan denominasi iaitu bermula RM1 sehinggga RM1,000 daripada empat siri wang kertas Malaysia.

Empat siri pengeluaran wang kertas Malaysia yang diletakkan di dalam terowong wang tersebut adalah bermula dari siri pertama pada Jun 1967 sehinggalah siri keempat wang Malaysia yang masih digunakan sehingga kini.

Menyelami ke bahagian dalam pula, pengunjung akan menyaksikan koleksi-koleksi khazanah dagangan yang pernah digunakan sebagai mata wang pada zaman dahulu serta koleksi tabung yang telah menjangkau usia 20 tahun di samping mendapat beberapa maklumat ringkas tentang kewangan.

Selain itu, antara aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan di dalam galeri ini ialah ‘Teka dan Tekap’ serta mencipta wang kertas sendiri. Mereka perlu menekap dan mewarna bentuk duit syiling yang terdapat di atas meja dengan menggunakan karyon dan kertas. Dengan ini mereka boleh mengetahui berapa harga duit tersebut.

Lebih menarik, mereka juga boleh mencipta wang kertas sendiri menggunakan 12 mesin cetakan wang dengan menampilkan beberapa elemen penting yang perlu ada pada wang kertas selain boleh mengetahui jenis duit betul atau palsu melalui mesin pengesan duit kertas (UV light money detector).

Justeru, pihak Bank Negara Malaysia mengajak orang ramai khususnya ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka ke Galeri KanakKanak, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia agar si cilik dapat mempelajari dan mengetahui akan pentingnya menabung, menyimpan dan berkongsi duit sejak kecil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas