Berita

Gagasan besar Rahmatan Lil Alamin

MAAL Hijrah 1441H
MUJAHID (tengah) bergambar bersama penerima-penerima anugerah Ma'al Hijrah 1441 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
- Diterbit 20 September 2019 4:07 AM MYT

KONSEP Rahmatan Lil Alamin atau rahmat untuk sekelian alam yang menjadi pendekatan kerajaan sekarang merupakan satu perkara yang amat besar ertinya kerana ia berdasarkan firman Allah mengenai pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menegur pihak yang mempermaikan kalimat “rahmatan lil alamin” yang kini dijadikan pendekatan kerajaan. Rahmatan lil alamin disebut dalam al-Quran dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang menyatakan Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menjadi rahmat buat sekalian alam.

“Saya hairan, orang dengar rahmatan lil alamin, dikaitkan jual agama, membiarkan kemungkaran berlaku, kita jadi khadam pihak tertentu.

“Tapi ketahuilah, ayat ini lebih hebat daripada ayat semua yang kata dia hebat, kerana dia merupakan firman Allah, satu penyataan yang kerananya dibangkitkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Mujahid mengulangi menyatakan pendirian tegasnya untuk mempertahankan gagasan rahmatan lil alamin biarpun diherdik oleh pelbagai pihak.

“Demi Allah, saya nyatakan, saya akan mempertahankan rahmatan lil alamain sebagaimana yang diajarkan oleh Islam kepada kita,” katanya dalam nada tegas.

Pada majlis tersebut, Mujahid menyampaikan anugerah Tokoh Utama Maíal Hijrah 1441 Peringkat Wilayah Persekutuan kepada Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penganugerahan itu membolehkan Syaikh Ismail, 76, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, jongkong emas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan dan sijil.

Syaikh Ismail yang merupakan kumpulan pertama pelajar Tahfiz al-Quran di Masjid Negara (1966-1969) memberikan sumbangan besar dalam perkembangan pengajian al-Quran dan dakwah termasuk menjadi hakim Musabaqah Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dari 1984 hingga sekarang.

Beliau yang berasal dari Dungun, Terengganu turut pernah diberi kepercayaan berkhidmat sebagai Timbalan Pengetua Institut Tahfiz Sultan Hasanal Bolkiah, Brunei sebelum dilantik sebagai Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya pada 2001 hingga 2006 dan Imam Besar Masjid Negara pada 2007.

Ismail berkata, beliau melahirkan penghargaan atas anugerah tersebut dan mengucap rasa syukur kepada Allah.

“Saya menyeru kepada umat Islam agar terus mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam sebuah negara pelbagai agama dan kaum seperti yang dikecapi selama ini,” katanya.

Beliau turut mahu umat Islam mempertahankan Islam daripada unsur yang boleh mencemarkan kesucian agama itu dan memastikan syiarnya terus bersinar.

Sementara itu, Ketua Imam Masjid Ibnu Khaldun Pekan Sungai Besi, Abdul Halim Abdullah, 52, menerima anugerah Tokoh Imam.

Ahli perniagaan Cina muslim, Datuk Muhammad Chan Abdullah, 66, pula menerima anugerah Tokoh Korporat manakala Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub dianugerahkan sebagai Tokoh Ilmuan.

Pendakwah wanita, Sitaton Osman, 60, pula menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Beliau yang pernah menerima anugerah Tokoh Wanita Masjid pada 2014 aktif sebagai sukarelawan Majlis AIDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan sukarelawan Hospital Kuala Lumpur selain terlibat dalam pengurusan jenazah wanita.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas