Berita

Fungsi CMC Wilayah Persekutuan diperluas, sasar 50,000 suntikan sehari

- Diterbit 6 Jun 2021 2:12 PM MYT

KEUPAYAAN dan fungsi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Wilayah Persekutuan ditingkatkan kepada Pusat Koordinasi Pengurusan COVID-19 (CCMC) bermula esok (Isnin) bagi membolehkan kesemua aktiviti disatukan di bilik gerakan yang berpangkalan di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) Cheras, Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, rombakan yang dilakukan itu membolehkan tujuh aspek tambahan (program) diperluaskan termasuk meningkatkan pemberian suntikan vaksin kepada warga kota.

“Sekarang 7,000 hingga 10,000 sehari, jadi untuk Wilayah Persekutuan, saya minta agar keupayaan dilipatgandakan kepada 400 hingga 500 peratus iaitu 50,000 sehari.

“Selain itu, kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV) akan turut ditingkatkan supaya 15,000 dos suntikan dapat diberikan dalam tempoh satu hari. Kalau berlaku boleh tingkatkan kepada 30,000,” katanya dalam LIVE Facebook sebentar tadi.

Menurut Annuar, langkah seterusnya yang akan dilaksanakan menerusi CCMC adalah memperluaskan perkhidmatan vaksin bergerak di kawasan terpencil.

Ujar beliau, unit vaksin bergerak akan diperkenalkan secara besar-besaran supaya dapat mencapai kawasan sasaran.

Menjelas mengenainya, kata beliau, setiap unit trak mempunyai kapasiti empat ‘bay’ iaitu suntikan vaksinasi terhadap 500 orang sehari.

“Dua sasaran utama trak adalah B40 di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) yang sukar ke PPV atau tidak berdaftar termasuk di kampung tradisi.

“Trak ini juga akan memberi tumpuan kepada kawasan kilang, industri atau tempat kerja yang ramai. Hari isnin ini akan mula percubaan bagi membolehkan prosedur operasi standard (SOP) yang diatur dimurnikan di samping merekodkan bilangan individu yang boleh divaksinkan dan pilot project (percubaan) pertama di kawasan perumahan serta tapak binaan.

“Ia untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada warga Wilayah Persekutuan. Bermula 15 Jun ini, 10 trak akan digerakkan dan selepas itu bermula 15 Julai, 40 trak akann digerakkan,” jelasnya sambil berharap menjelang suku ketiga tahun ini, ketiga-tiga wilayah menjadi zon selamat semua aktiviti dengan risiko jangkitan atau kematian dikawal sepertimana negara maju di Eropah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, satu lagi langkah tambahan adalah saringan RTK-Ag secara bersasar.

Tambahnya, dalam usaha memastikan kelancaran program, 1,000 sukarelawan prihatin digerakkan untuk membantu setiap program yang dilaksanakan di samping meningkatkan keupayaan komuniti dalam aspek sanitasi kawasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas