Berita

Foodbank SAM dilancar, bantu golongan serba memerlukan

- Diterbit 22 Disember 2020 5:08 AM MYT

PROGRAM Foodbank Surau Al Mizan (SAM) adalah sebahagian inisiatif diambil bertujuan membela nasib golongan yang memerlukan terutamanya para jemaah dan ahli kariah dari kalangan asnaf.

Selain itu, usaha ini dilaksanakan bagi membantu golongan ditimpa musibah kemalangan, terdesak atau menghadapi sesuatu kecemasan termasuk atas sebab berkaitan dengan COVID-19 seperti hilang pekerjaan dan lain-lain keperluan.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Surau Al Mizan, Putrajaya berkata, di samping objektif Kebajikan , program FoodBank SAM ini diperkenalkan untuk membudayakan nilai prihatin, empati, membantu serta menyuburkan kasih sayang dan semangat kekeluargaan dalam kalangan jemaah dan ahli kariah SAM.

“Sukacita dimaklum AJK SAM dan Pengurusan telah melaksanakan Projek Foodbank SAM yangs secara keseluruhan adalah inisiatif amal jariah yang amat dianjur serta mulia di sisi agama.

“Sehubungan itu, bagi melaksanakan program ini, AJK Surau memerlukan sokongan, dokongan dan penglibatan dari semua jemaah meliputi tenaga sukarela dan infak sumbangan barang atau wang tunai untuk membeli barangan keperluan harian, seperti beras, telur, ikan dan daging, tepung, gula, biskut dan lain-lain.

“Bagi jayakan usaha ini, sebuah almari (gerobok) telah disedia di pintu masuk SAM bagi menerima serta meletak barang sumbangan berkenaan dan pihak SAM turut mempunyai kemudahan tempat simpanan sekiranya barang disumbang melebihi kapasiti almari,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, mana-mana jemaah atau pihak yang ingin menyumbang, boleh berhubung dengan Pengerusi atau Timbalannya, Pengurus serta mana-mana AJK SAM bagi menyampaikan sumbangan atau boleh meletakkan terus barang makanan yang diinfak di dalam almari Foodbank yang disediakan.

“JK Kariah dan Pengurusan SAM juga bercadang untuk mengatur dan mengagihkan barang-barang makanan secara bulanan kepada asnaf selain golongan sasar yang memerlukan bantuan.

“Bagi jemaah dan ahli kariah ditimpa musibah atau yang terdesak akibat kecemasan, bolehlah mendapatkan bantuan di surau pada waktu solat fardhu,” katanya.

Sementara itu, jika bantuan makanan diperlukan diluar waktu solat fardhu, pihak memerlukan itu boleh menghubungi Pengurus atau AJK SAM seperti Datuk Dusuki (019 9311212) Zaidi ( 011 10047273), Puan Joanna (019-3252861), Azmil (012 359 1515) dan Haji Jalil (019 388 7259).

Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan program ini boleh dirujuk kepada Pengerusi atau Timbalan Pengerusi, Pengurus JK, Zaidi atau mana-mana  AJK SAM yang disenaraikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas