Berita

Fokus elemen Islam, Melayu

ANTARA rumah tradisional yang terdapat di Kampung Baru.
- Diterbit 20 September 2019 1:49 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Bagi memberikan fokus kepada konsep tradisi Melayu dan keislaman, Masjid Jamek Kampung Baru akan menjadi nukleus­ pemba­ngunan yang direncanakan ke­rajaan.

Justeru masjid mengetengah­kan reka bentuk Islam itu akan dikekalkan serta diperbesar supaya menjadi ele­men ikonik di kawasan segi tiga emas berkenaan.

Ia sejajar dengan pembina­an 11 buah replika rumah tradisi yang mempunyai identiti negara ini menerusi Projek Taman Warisan Melayu di tapak berkeluasan kira-kira 9.7 hektar (24 ekar).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB) Zulkurnain Hassan berkata, rumah warisan Melayu akan dibina baru sebagai replika bangunan-bangunan warisan sedia ada di Taman Warisan berkenaan dan cadangan pembangunannya dilakukan dalam fasa per­tama.

Ujar beliau, ia juga sejajar dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang mahu imej Kampung Baru sebagai warisan orang Melayu dikekalkan manakala tempat perniaga­an juga akan diwujudkan dengan lebih bersih serta tersusun.

“Pembangunan semula itu adalah bina­an baharu bukan bermaksud kekalkan bangunan yang sedia ada. Rumah-­rumah sedia ada se­perti rumah biru tidak praktikal untuk dikekal dan di­pindahkan ke tempat baharu, wajar bina baru dalam bentuk replika.

“Setakat ini kajian te­lah­ mengenal pasti 11 buah rumah tradisional yang mempunyai ciri-ciri warisan Melayu yang menarik me­rupakan antara pilihan yang akan diteliti,” kata­nya kepada Wilayahku baru­-baru ini.

Zulkurnain berkata, rumah warisan yang kebanyakannya masih berdindingkan papan kayu dan bercirikan rumah tradisional Selangor, Perak dan Pahang antara yang tersenarai menerusi penyelidikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu Universiti Teknologi Malaysia.

Jelas beliau, projek pe­muliharaan rumah warisan itu merupakan perkara utama yang terkandung dalam pelan pembangunan semula Kampung Baru yang bakal dibentangkan pada sesi Town Hall bersama pemilik dan waris tanah pada 21 September ini (Sabtu).

Selain itu, katanya, taman tersebut juga akan menjadi penempatan semula perusahaan makanan terkenal di Kampung Baru sekali gus menjadi kebanggaan kampung tersebut yang turut dikenali sebagai syurga makanan.

Sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda itu dijadualkan dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, dilaporkan tawaran pembelian me­libatkan pemilik tanah dalam kawasan seluas 89 hektar membabitkan 879 lot yang diwartakan sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Kampung Baru mempunyai tapak keluasan 121 hektar ter­masuk kawasan segi tiga emas seluas 89 hektar yang diwartakan sebagai kawasan MAS.
Bakinya, 32 hektar berada di luar MAS, merangkumi kawasan Raja Bot, kawasan perumahan PKNS Sungai Baru, flat PKNS Jalan Tun Razak, flat PKNS 17 Tingkat dan Wisma PERKESO.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas