Berita

Firma teknologi China buka kilang baharu di Bangladesh berikutan permintaan untuk peranti pintar

- Diterbit 25 Mei 2023 8:30 AM MYT

TRANSSION Holdings, pengeluar telefon pintar yang berpangkalan di China, merasmikan kilang ISMARTU pada Rabu bagi memenuhi permintaan peranti pintar yang semakin meningkat di Bangladesh, lapor Xinhua.

SMARTU Technology BD Limited, anak syarikat Transsion Holdings, mengeluarkan jenama pintar popular seperti TECNO, Itel, Infinix, oraimo dan Syinix.

Fasa pertama kilang baharu itu yang terletak di Zon Ekonomi Perindustrian Meghna, Narayanganj, dibangunkan dengan jumlah pelaburan kira-kira US$22 juta di kawasan lebih 22,000 meter persegi.

Ia dilengkapi teknologi terkini dan mematuhi piawaian antarabangsa yang tinggi untuk kualiti dan keselamatan.

Pengerusi Transsion Holdings,  Zhu Zhaojiang, menyifatkan negara Asia Selatan itu sebagai pasaran strategik untuk pengembangan perniagaan syarikat.

Zhu yakin pelaburan di Bangladesh melalui ISMARTU bukan sahaja akan mempercepat pembangunan tempatan syarikat bahkan dapat menyumbang kepada proses pendigitalan dan pemodenan Bangladesh.

Bercakap menerusi pautan video pada majlis perasmian itu, Menteri Pos dan Telekomunikasi Bangladesh, Mustafa Jabbar, berkata langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat.

Kilang berkenaan dijangka menjana peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 rakyat tempatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas