Berita

Financial Park Labuan ditutup sepenuhnya selama tujuh hari

Financial Park Labuan (FPL) akan ditutup sepenuhnya selama tujuh hari bermula 2 Jun sehingga 8 Jun ini.
- Diterbit 1 Jun 2021 7:47 AM MYT

SUSULAN peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara mendadak di Pulau Bebas Cukai itu, Financial Park Labuan (FPL) akan menutup operasinya sepenuhnya selama tujuh hari bermula 2 Jun sehingga 8 Jun ini.

Penutupan secara penuh itu meliputi blok pejabat utama, blok 4 menara pejabat dan pusat beli- belah Ujana Kewangan.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh FPL, tindakan itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan  awam termasuk penghuni dan pengunjung kompleks.

Katanya, kompleks beli belah, ruang pejabat blok 1 dan 4 ditutup sepenuhnya kepada orang awam dan kawasan letak  kereta bawah tanah hanya dihadkan kepada penghuni tetap dan pekerja sanitasi sahaja.

” Penghuni jangka panjang di Beta Apartment dan Alpha Condominium masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak dibenarkan menerima pelawat luar.

” Semasa penutupan ini, Beta Apartment tidak menerima sebarang tempahan penginapan,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, FPL turut memaklumkan orang awam masih dibenarkan dan mendapatkan akses perkhidmatan perbankan melalui mesin ATM dan CDM yang berada di bangunan Ujana Kewangan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh bank.

“Hanya cawangan Bank Rakyat sahaja yang akan tutup sepanjang tempoh penutupan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas