Berita

Filipina catat 2,163 kes baharu COVID-19, tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan

Train passengers queue up to board a bus at a train station in Manila on July 7, 2020, after authorities suspended operation of one of the train lines after some of its staff tested positive of COVID -19 disease. (Photo by Miggy Hilario / AFP)
- Diterbit 18 Januari 2021 9:49 AM MYT

JABATAN Kesihatan (DOH) Filipina pada Isnin melaporkan 2,163 kes baharu COVID-19, tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 502,736, lapor Agensi Berita Xinhua.

Angka kematian meningkat kepada 9,909 selepas 14 lagi pesakit meninggal dunia, kata DOH.

Filipina mempunyai kira-kira 110 juta penduduk dan setakat ini lebih 6.84 juta orang sudah menjalani saringan COVID-19 sejak virus itu mula dikesan Januari tahun lalu.

Tiada peningkatan kes yang ketara di Metro Manila, sejak Disember tahun lalu, kata Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire dalam sidang media secara maya.

Namun, katanya lonjakan kes dilaporkan di wilayah Cebu tengah Filipina, wilayah Lembah Cagayan dan Wilayah Pentadbiran Cordillera di utara Filipina.

Katanya, jumlah purata kes baharu dicatatkan minggu lalu ialah 1,500, lebih tinggi berbanding purata 1,000 hingga 1,300 yang dilaporkan pada Disember tahun lepas.

Vergeire berkata DOH masih menganalisis data untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kes berlaku selepas musim percutian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas