Fikirlah: COVID-19 – Mengapa masih tidak mahu terima kenyataan?

Fikirlah: COVID-19 – Mengapa masih tidak mahu terima kenyataan?

APAKAH benar virus yang masih lagi menghantui dan meresahkan negara serta persada global ketika ini iaitu COVID-19 adalah sangat membahayakan kesihatan sejagat manusia?

Setelah lebih setahun, pandemik koronavirus maut ini melanda dunia termasuk Malaysia, sudah tentunya persoalan sebegini tidak sewajarnya lagi dibangkitkan mahupun mengusik dalam pemikiran mana-mana individu.

Dalam tempoh yang begitu lama negara dibelenggu serangan virus yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan manusia bahkan turut menjejaskan ekonomi ini, pastinya pandemik ini sesuatu yang nyata, benar dan bukanlah imaginasi mahupun omongan kosong semata-mata.

Apatah lagi, dengan jumlah kes positif baharu harian COVID-19 di negara ini yang kini masih kekal empat angka dengan jumlah kes kumulatif melepasi paras 264 ribu serta angka kes kematian 965 kes, setakat 14 Februari 2021.

Angka-angka yang menunjukkan betapa teruknya pandemik tersebut melanda negara kita serta  lebih 200 buah negara di seluruh dunia jelas membuktikan bahawa COVID-19 harus jangan dipandang enteng.

Disebabkan itulah, boleh dikatakan saban hari ada sahaja peringatan demi peringatan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai bahayanya serangan virus yang bermula dari Wuhan, China ini supaya rakyat terus sedar akan ancamannya serta tidak mudah alpa berikutan penawarnya masih lagi belum ditemui.

Biarpun demikian, selepas setahun ‘hidup’ dengan wabak tersebut serta pelbagai langkah kerajaan dalam menanganinya termasuklah pengisytiharan darurat, agak menyedihkan apabila masih ada lagi segelintir individu yang entah mengapa masih lagi terbuai dalam dunia khayalan kerana beranggapan — COVID-19 bukanlah membahayakan.

“Aku dah tak tahu nak nasihat bagaimana lagi. Sudah banyak kalilah aku ingatkan kawan-kawan mengenai bahayanya COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa laksanakan darurat. Malah, turut jelaskan mengapa kita kena betul-betul patuh SOP, tapi mereka (bukan semua) buat macam endah tak endah saja.

“Bagi mereka, ia tak bahaya dan kerana itu ambil ringan mengenainya. Bahkan mereka semakin culas patuh SOP dan hanya betul-betul ikut peraturan bila ternampak pihak berkuasa saja. Semuanya, gara-gara video aktiviti pesakit COVID-19 di pusat kuarantin,” bebel sahabat saya, Nurul Ain Alias, 36, sewaktu saya menghubunginya baru-baru ini.

Sengaja saya menghubungi ibu kepada empat orang anak ini yang juga merupakan kenalan semasa di universiti untuk bertanya khabar. Sahabat saya ini bekerja sebagai peniaga ikan di Pasar Borong Selangor dan  saya ingin tahu responsnya pematuhan SOP di pasar itu dan dalam kalangan rakan-rakannya.

Sebagai peniaga di pasar, wanita ini mengakui risikonya untuk dijangkiti COVID-19 adalah sangat tinggi memandangkan dia perlu berurusan dengan ramai orang termasuk pembekal dan pembeli.

Bagaimanapun, Nurul Ain bersyukur kerana setakat ini pasar tersebut belum pernah lagi mencatatkan kes jangkitan COVID-19 sehingga memerlukan pasar tersebut ditutup sepertimana beberapa pasar lain berikutan pemantuan ketat oleh pihak pengurusannya.

Cuma, apa yang menjadi kebimbangan wanita ini adalah sikap beberapa rakannya yang bersikap acuh tidak acuh dengan ancaman koronavirus tersebut kerana beranggapan ia hanyalah demam selesema biasa sahaja selepas menonton beberapa video aktiviti pesakit di pusat kuarantin yang tular di media sosial baru-baru ini.

Video aplikasi TikTok yang tular pada pertengahan Januari lepas mengenai aktiviti pesakit positif COVID-19 daripada kategori satu dan dua (berisiko rendah dan tidak bergejala) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), mencuri perhatian ramai netizen.

Daripada membuat senaman, menari Zapin sehinggalah kepada acara pertunjukan fesyen dengan baju hospital.

Biarpun begitu, aktiviti sedemikian rupa yang sebenarnya bertujuan menghilangkan tekanan kerana dikuarantin dalam tempoh masa agak lama selain memotivasikan diri supaya sentiasa ceria dan tidak mudah mengalah dengan jangkitan wabak tersebut, bagaimanapun disalah anggap rakan Nurul Ain.

“Mereka pertikaikan kalaulah betul COVID-19 ini bahaya dan menyakitkan, mustahil pesakit di pusat kuarantin boleh bersuka ria, berseronok sakan menari dan buat ‘catwalk’, ‘fashion show’. Lagipun, tidak ada seorang pun yang meninggal disebabkan COVID-19.

“Semuanya meninggal disebabkan ada masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, obesiti, itu alasan mereka. Jadi, mereka rasa selamat kerana tidak ada penyakit seperti itu dan sekiranya dijangkiti COVID-19 mesti tidak teruk, “ keluh Nurul Ain.

Menurut sahabat saya itu, selepas menonton video berkenaan, ada rakan-rakannya mula pakai pelitup muka sesuka hati mereka, ada yang menarik sampai ke dagu atau hanya menutup menutup mulut sahaja manakala hidung dibiarkan terdedah.

“Entahlah, bila aku jelaskan yang COVID-19 ini ada peringkat seriusnya seperti penyakit kanser,  sedikit pun mereka tidak ambil peduli,” keluh wanita ini.

Agak terkejut jugalah apabila saya mendengar cerita sahabat saya ini sehingga membuatkan diri tertanya-tanya mengapa dan apakah sebabnya sehingga saat ini masih ada lagi yang menganggap ia sebagai suatu serangan kesihatan yang remeh?

Lagipun, bukankah sepanjang pandemik ini kita sudah dihidangkan dengan pelbagai kisah, pengalaman bekas pesakit COVID-19 yang berkongsi detik kesengsaraan mereka semasa berhadapan dengan tarungan sengit melawan virus berkenaan yang telah dipaparkan dalam pelbagai saluran media?

Justeru, mengapa masih ada lagi yang berdegil dan tidak mahu mengambil iktibar daripadanya? Malah, keperitan pengalaman bekas pesakit tersebut menderita akibat COVID-19 tidaklah dalam kalangan mereka yang ada penyakit tidak berjangkit (NCD) sahaja sepertimana anggapan rakan Nurul Ain.

Kesengsaraannya turut sama dialami kalangan mereka yang tidak ada penyakit sepertimana dikongsi Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) Shah Alam yang juga qari terkenal, Abdul Karim Omar selepas disahkan dijangkiti COVID-19.

Mengakui keperitan dijangkiti virus yang belum ada penawar ini bagaikan antara hidup dan mati, beliau dipetik berkata mengalami batuk luar biasa, tidak selera makan, sukar bernafas walhal tidak menghidap sebarang penyakit lain, tiada asma dan sebagainya.

“Saya sendiri dah lalui kuarantin, antara hidup dan mati. Saya sudah nampak alam lain pula yang akan datang depan saya, tetapi dengan izin Allah dan berkat doa serta Al-Quran, saya kembali pulih semula.

“Jangan kita sambil lewa sama sekali dengan COVID-19. Wabak ini dia tidak kenal tok imam, menteri, sesiapa pun. Bila dah takdir kata Kun Faya Kun, maka jadilah kita seorang hamba yang dijangkiti COVID-19.

“Jika tidak perlu keluar rumah, janganlah keluar. Jangan rasa diri kita ini kebal. Sedangkan tok imam pun kena, menteri pun kena, siapa pun kena, jadi sama-samalah kita jaga normal baharu ini. Mudah-mudahan Allah SWT gugur dosa-dosa kita, Insya-Allah,” katanya.

Justeru, mengapa ada yang masih dibuai khayalan? Bangkit dan sedarlah bahawa bahaya virus yang bernama COVID-19 ini adalah benar, nyata bahkan virus ini boleh menyerang sesiapa sahaja.

Dalam masa yang sama, sekiranya seseorang itu disahkan dijangkiti wabak berkenaan dan tidak mengalami sebarang detik cemas mahupun menanggung keperitan, janganlah mudah bergembira dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga kerana ia mungkin penyebab anda menjangkiti orang disayangi seperti ibu bapa sehingga membawa kepada kematian.

Malah, isu ini juga pernah dijelaskan Pegawai Perubatan Institusi Penyelidikan Klinikal Negara (CRC), Dr Arvinder Singh HS (HE) menerusi ciapan dan bebenang di laman Twitternya sebelum ini berkenaan kekeliruan masyarakat mengenai tahap keseriusan serangan COVID-19.

“Apa yang kita perlu faham adalah pesakit tahap 1, walaupun tiada simptom, masih perlu dikuarantin. Kenapa? Kerana mereka sudah dijangkiti dan boleh menjangkiti orang lain walaupun mereka tiada simptom. Sekiranya mereka bersin/terbatuk, mereka masih boleh menjangkiti orang lain.

“Orang yang dijangkiti tidak semestinya mempunyai jangkitan tahap 1. Malah, jika orang yang dijangkiti itu mempunyai darah tinggi atau kencing manis, mereka boleh dijangkit dengan tahap 1-5.

“Jadi, jika seseorang individu tidak mengetahui ada COVID-19 (tahap 1) berjumpa dengan orang lebih tua (berisiko), individu ini boleh menjangkiti mereka (golongan berisiko) dan jangkitan mungkin lebih serius daripada individu berkenaan ,” katanya.

KKM sebelum ini ada memaklumkan terdapat lima kategori jangkitan COVID-19 iaitu kategori 1 (tidak bergejala), kategori 2 (bergejala tanpa radang paru-paru), kategori 3 (bergejala dengan radang paru-paru), kategori 4 (bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan kategori 5 (pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ).

Mungkin ada yang sudah lupa akan perihal kategori ini sehingga timbulnya persepsi COVID-19 hanya berisiko kepada golongan berpenyakit sahaja. Walhal, penerangan tersebut jelas membukitikan bahawa apa sahaja tahap seseorang itu sebaik dijangkiti virus berkenaan, ia adalah sangat membahayakan.

Mungkin bukan pada diri anda tetapi mungkin pada golongan berisiko seperti warga emas yakni ibu bapa anda sendiri. Justeru, sedar dan pikullah tanggungjawab untuk lebih prihatin menjaga keluarga anda sendiri dengan pematuhan SOP sekali gus membantu kerajaan menangani wabak yang kian mengganas ini.

Semuanya berbalik kepada  #kitajagakita. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS