Berita

Fikir positif, “PKP ada hikmahnya” -Saharul Ridzwan

- Diterbit 24 Januari 2021 4:36 AM MYT

TIDAK dinafikan, ramai yang merungut apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP 2.0 akibat pandemik COVID-19.

Rungutan atau pendangan negatif terhadap PKP ini timbul berikutan ramai yang hidup susah kerana tidak dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Malah tidak kurang jugak yang kehilangan punca pendapatan.

Bagi pelakon Saharul Ridzwan,31, setiap kesulitan pasti ada kesenangan dah hikmah.

Saharul berkata, PKP banyak mengajarnya untuk menjadi ketua keluarga yang  sentiasa memikirkan apa perancangan terbaik untuk masa depan keluarga.

“Bagus juga ada PKP. Apabila susah dan tidak boleh berlakon seperti biasa dalam tempoh itu, saya mula berfikir apa yang terjadi kepada saya andai bidang lakonan bukan rezeki saya lagi. 

“Sekarang saya memang aktif berlakon, tetapi jika satu hari nanti, kalau ada apa-apa yang terjadi kepada saya, mesti pendapatan terjejas. Apa yang boleh jadi ‘back up’ untuk saya menyara keluarga?

“Saya sudah mula memikirkan apa yang terjadi 10 tahun akan datang. Semuanya demi anak. Jadi, saya mula menjinakkan diri dengan perniagaan dan menjalinkan kerjasama dengan beberapa jenama.

“Seperti produk Palut’s Food ini, saya yakin untuk menjalin kerjasama dengan mereka. Produk mereka naik sewaktu PKP dan menunjukkan impak positif.

“Saya mahu belajar lebih banyak selok belok dalam dunia keusahawanan untuk menjadi bekalan di masa akan datang, Insya-Allah,” katanya lagi yang tidak mahu bergantung kepada kerjaya lakonan semata-mata. 

Saharul ditemui pada majlis pelancaran pelancaran produk makanan, Palut’s Superhero di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir ialah pelakon Zoey Rahman, pelawak Achey dan Ketua Pengawai Eksekutif Palut’s Food, Ridzuan Ansar.

Saharul juga berkongsi pendapatannya pada tahun 2020 adalah dua kali Ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Ketika PKP tahun lalu, saya meneruskan survival dengan duit simpanan dan duit iklan. Apabila saya menyemak penyata bank untuk tujuan  pembayaran cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri, saya terkejut.

“Pendapatan saya dua kali ganda pada 2020 ketika COVID-19 berbanding 2019. 

“Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Mungkin itu adalah rezeki daripada anak-anak saya agaknya,” ujarnya yang akan melancarkan produk bersama isterinya tidak lama lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas